Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

Kami Tak Sangka Banjir di Melaka!

Melaka adalah di antara negeri-negeri yang terlibat dalam bencana banjir yang melanda sebahagian besar negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Saya, bersama beberapa Exco Wanita keADILan Pusat telah menziarahi salah satu pusat pemindahan mangsa banjir di SRJK (C) Mallim, Kawasan Parlimen Bukit Katil pada hari Ahad, 24 Disember 2006 yang lalu. Sumbangan sementara berupa makanan telah disampaikan kepada mangsa banjir di pusat tersebut.

Pasukan keADILan Bukit Katil, Wanita dan AMK Bukit Katil telah bersama-sama Wanita keADILan Pusat untuk merapati kesulitan dan kesusahan rakyat yang terlibat dengan bencana banjir yang tidak diduga-duga oleh orang ramai itu. Turut memberi bantuan ialah Pemangku Ketua Bahagian Bukit Katil, Mad Yusof bin Abdullah dan Timbalan Ketua Bahagian, Noor Aini binti Hj Aliman. Turut hadir ialah Ketua Perhubungan Negeri Melaka, Hjh Zainon.

Ramai di antara mereka yang kehilangan sebahagian besar harta benda keperluan harian mereka. Anak-anak telah kehilangan peralatan, buku-buku dan pakaian sekolah yang baru dibeli.

Saya telah menemui keluarga-keluarga yang terlibat dan mendengar perkara-perkara yang menjadi masalah mereka. Berlaku kekurangan air untuk kegunaan mangsa di pusat perpindahan. Ada di antara mereka yang mengalami masalah dengan majikan yang tidak memahami kesulitan mangsa yang belum dapat kembali untuk bertugas. Ada juga yang memerlukan bantuan kenderaan, kerana pusat perpindahan amat jauh dari jalan biasa untuk ke tempat kerja. Sebahagian mangsa adalah pengunut nasrani yang akan menyambut Krismas. Tahun ini, tentunya mereka tidak akan merasakan kegembiraan yang serupa seperti tahun-tahun lalu.

Saya difahamkan bahawa keADILan Bahagian Bukit Katil akan meneruskan kerja-kerja membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut yang melibatkan pembersihan rumah, memberi sumbangan makanan dan lain-lain.

Melaka adalah negeri yang pesat membangun. Pembangunan itu wajar di imbangi dengan pengurusan alam sekitar yang rapi. Walaupun banjir adalah fenomena alam semulajadi, sudah ada teknologi yang boleh memastikan banjir tidak memusnahkan kehidupan, nyawa dan harta-benda manusia. Amatlah dikesali, tiada perancangan jangka panjang yang diutamakan oleh semua kerajaan negeri, khususnya negeri-negeri yang sering dilanda banjir.

Fuziah Salleh

December 28, 2006 - Posted by | Politics

No comments yet.

Leave a comment