Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

Teks Ucapan Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

18 November 2008

Dato Pengerusi,

Saya turut serta di dalam perbahasan diperingkat jawatankuasa bagi KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR.

Butiran 060200 adalah dirujuk

Komitmen dari pihak Kementerian untuk memastikan alam sekitar sentiasa bersih, selamat, sihat, produktif dan tidak dicemari, amat-amat dihargai kerana alam ini merupakan anugerah kita terhadap anak cucu kita dan generasi akan datang.

Keprihatinan pihak Kementerian berkenaan Pembangunan Lestari, mesti diterjemahkan dalam bentuk keputusan-keputusan yang tegas dan komited.

Saya ingin menarik perhatian pihak Kementerian berkenaan tindakan Jabatan Alam Sekitar Pahang yang telah meluluskan lesen kepada Lynas Corporation Malaysia Sdn Bhd untuk membina satu Advanced Material Plant di Pusat Industri Gebeng Kuantan pada awal tahun ini.

Dato Pengerusi,

Lynas Corp Ltd merupakan syarikat asing yang melaburkan RM1 billion bagi membina prasarana serta kemudahan untuk memproses lathanides (nama saintifik bagi rare earth) di 72, Jalan Gebeng 1/24, Bandar Industri Gebeng Jaya, Kuantan 26080 Pahang. Kawasan seluas 101.25 hektar di Kawasan Perindustrian Gebeng di peringkat permulaan, di mana operasinya dijangka bermula September 2009.

Lathanides digunakan sebagai pemangkin untuk pembuatan mentol lampu jimat tenaga serta bateri kering. Ianya juga digunakan dalam pemprosesan banyak lagi produk teknologi moden. Bahan mentah pula akan dibawa masuk dari kuari milik Lynas di Pergunungan Weld, (Mt Weld), New South Wales sebelum diproses di Gebeng. Manakala keuntungan bagi negeri dan negara dijangka mencecah sehingga RM4.7 billion daripada pelaburan bertempoh 15 tahun yang pertama.

Saya ingin membawa kepada perhatian dewan yang mulia ini bahawa elemen-elemen rare earth ini, sebenarnya berpotensi menghasilkan kadar radiasi peringkat rendah mahupun sederhana. Sebab itulah pihak pemaju industri ini memerlukan lesen khas dari Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sebelum memulakan operasinya. Ini secara jelas menunjukkan bahawa, operasi pemprosesan rare earth ini melibatkan penggunaan serta penghasilan sisa radioaktif.

Di negara China dan India, proses seperti ini begitu terkawal aktivitinya. Walaubagaimanapun, China sendiri sudah mula memberhentikan industri-industri merbahaya seperti ini dengan cara memeperketatkan regulasi, yang secara tidak langsung memeksa keluar industri ini dari negera mereka. Tujuannya bagi menjamin alam sekitar yang sihat kepada penduduknya. Proses seperti itu memerlukan satu sistem pengurusan yang rapi khususnya pengurusan sisa radioaktif termasuk urusan penyimpanan sisa buangan serta pengangkutannya.

Malah lampu kalimantang yang sudah tidak digunakan lagi pun, termasuk di dalam kategori sisa buangan terjadual di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Sisa Buangan Terjadual) 1989 dan perlu dilupuskan mengikut prosedur bagi menjamin keselamatan dan kesihatan masyarakat dan alam sekitar.

Persoalannya ialah mengapa Lynas sendiri yang sebelum ini beroperasi di negeri China telah pun terpaksa beralih tempat untuk memproses rare earth ini, kenapa mereka terpaksa mencari lokasi baru, keluar dari negeri China?

Lynas juga enggan membuat pemprosesan bahan ini di negara mereka sendiri, Australia. Kenapa? Kita kena tanya hal ini. Kenapa mereka sanggup membawa bahan tersebut ke Malaysia? Kenapa Malaysia pula menjadi negara yang mahu menerima projek berbentuk begini di negara kita. Kerajaan Negeri Terengganu telah menolak untuk diadakan projek ini di Telok Kalong Kemaman, Terengganu pada bulan  Julai 2007, iaitu selepas mengkaji isu-isu keselamatn yang membabitkan nyawa manusia serta juga selepas mendapat maklumbalas dari NGO-NGO.

Akan tetapi pada 24 Ogos 2007, MIDA pula mengenalpasti lokasi baru di Gebeng, Kuantan. Kerajaan Pahang pula menjadi pak sanggup menerima projek ini.

Walaupun pihak berkuasa sentiasa mendakwa bahawa mereka sentiasa mengawasi dan memantau operasi industri seperti itu. Akan tetapi,sejarah hitam industri pemerosesan rare earth di Malaysia telah pun berlaku sekitar awal 1990an di Bukit Merah, Perak. Starikat usahasama dari Jepun yang mendakwa menggunakan teknologi pemerosesan rare earth mesra alam telah gagal mengurus sisa buangan industri mereka dan mengakibatkan pencemaran alam sekitar. Lebih buruk lagi, di dalam kes Bukit Merah sisa buangan yang bersifat radioaktif itu telah dihebahkan kepada penduduk untuk diambil sebagai baja sebagai langkah ‘pelupusan’ mudah. Akhirnya akibat radiasi sisa buangan radioaktif tersebut, kadar kejadian kanser, kelahiran bayi pramatang dan cacat malah keguguran bayi meningkat secara mendadak melebihi kadar purata yang direkodkan di peringkat kebangsaan. Penduduk setempat telah menjadi mangsa serta hidup merana. Setelah puas menentang, akhirnya mahkamah membatalkan lesen syarikat terbabit setelah dengan ‘harga’ yang cukup mahal;nyawa dan kesihatan.

Menjadi lumrah syarikat-syarikat seperti itu menjanjikan bahawa keselamatan masyarakat dan kebersihan alam sekitar menjadi keutamaan mereka. Apa yang sering terjadi ialah, setelah sedikit lama beroperasi, kemungkinan kejadian-kejadian seperti pelupusan sisa secara haram dilakukan. Malah, kemudahan penyimpanan sisa buangan sementara seperti yang dituntut peraturan juga, mungkin tidak lagi menjadi keutamaan. Sisa-sisa mungkin akan dibiarkan secara terbuka dan mendedahkan bahaya kepada masyarakat dan alam sekitar.

Kita sudah ada precedence timbulnya masalah sebelum ini di Bukit Merah, Perak di dalam industri yang sama.

Tambahan pula di negara kita ini kita punyai masalah dengan penguatkuasaan. Masalah pembuangan sampah merata-rata pun kita susah nak buat penguatkuasaan, saya khuatir, bagaimanakah kita mampu melaksanakan penguatkuasaan dalam kes ini yang melibatkan sisa radioaktif merbahaya.

Bagaimana pula sekiranya ada leakage kebocoran di tempat penyimpanan sisa buangan. Bukankah ianya akan mencemarkan Sungai Balok yang kemudiannya akan mencemarkan ikan-ikan di Laut China Selatan. Kuantan merupakan pangkalan penangkapan ikan yang terbesar di dalam negara. Ikan-ikan dari Kuantan dihantar ke Pasar Borong di Selayang yang kemudiannya di hantar keseluruh pasar-pasar dan ke restoran-restoran negara untuk dijadikan hidangan rakyat Malaysia.

Insiden-insiden kes rasuah yang tinggi juga merupakan masalah yang kita hadapi di mana ianya menambah kekhuatiran rakyat berkenaan penguatkuasaan berkesan.

Memandangkan projek ini yang begitu sensitif terhadap keselamatan orang awam dan berisiko tinggi, saya menggesa kepada pihak Kementerian khususnya Ketua Pengarah Pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, supaya mengarahkan supaya diadakan satu kajian DEIA(Detailed Environmental Impact Analysis) yang kemudiannya perlu pula dipamerkan kepada orang awam selama 40 hari untuk maklumbalas. Walaupun projek ini mungkin tidak memerlukan DEIA dilakukan tetapi demi memastikan keselamatan awam, ‘to be double sure’ , tidak rugi sekiranya pihak Kementerian membuat kajian yang lebih teliti sebelum projek ini dimulakan. Keselamatan orang awam, bayi-bayi di dalam kandungan dan anak-anak kita yang terancam tidak boleh dipergadaikan.

Terima kasih, Dato Pengerusi.

Fuziah Salleh

Ahli Parlimen Kuantan

Advertisements

November 19, 2008 Posted by | Politics | 11 Comments

Hujung Minggu Bertemu Rakyat

p10100671Saya telah menghadiri Majlis Bersama Penduduk Cina pada Sabtu malam 15 November lepas yang turut dihadiri oleh YB Leong Ngah Ngah (ADUN Triang), YB Chang Lih Kang (ADUN Teja) serta tetamu kehormat Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (MB Perak). Turut hadir YB Azan Ismail (MP Indera Mahkota). Seramai hampir 200 org penduduk Cina yang telah hadir dan mendengar amanat daripada pimpinan Pakatan Rakyat pada malam itu. Seterusnya saya terus ke Ceramah Perdana di Kg Razali juga berceramah bersama YB Leong Ngah Ngah dan YAB Datuk Seri Nizar. 

p1010074   p1010081  p10100872

p1010110  p1010132   p1010104  p1010111

Keesokan harinya, satu Dialog Bersama Penduduk Bandar Baru Kuantan Putri, Kempadang telah diadakan dikawasan perumahan mereka. Mereka mengalami empat permasalahan utama iaitu masalah pembentungan, tiada meter air individu, perumahan Fasa 2 yang terbengkalai p1010142serta tahap keselamatan yang longgar bagi kanak-kanak di kawasan tersebut. Selama lebih kurang dua jam saya berada disitu bersama penduduk. Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Tn Hj Ahmad Dimin dan SU En Azhar, telah membawa saya melihat sendiri loji pembentungan yang tidak mengikut spesifikasi yang betul sehingga menyebabkan  ia tidak dapat berjalan lancar setiap hari. IWK jga enggan bertanggungjawab keatas loji tersebut oleh sebab spesifikasi yang tidak di tepati. Kesan yang dihadapi penduduk daripada permasalahan ini sangat membimbangkan kerana melibatkan tahap kebersihan, keselamatan dan kualiti hidup penduduk. Saya dapati Air Kumbahan yang tidak dirawat disalurkan semula kedalam longkang-longkang ditaman perumahan. Ini amat-amat membimbangkan kerana air tercemar tersebut akan masuk kesungai dan seterusnya mencemari sungai kita. Begitu juga dengan ketiadaan meter air individu di rumah-rumah, para penduduk di bebankan dengan bil komersial hasil tinggalan pemaju. Sebanyak hampir RM100,000 yang perlu dibayar secara dibahagi diantara 207 buah pemilik rumah. Hal ini telah saya bawa berbincang dengan LKPP Properties, pemilik tanah yang kini bertindak mengambil alih tugas  pemaju perumahan selepas pihak pemaju Citra Pesona Sdn Bhd, melarikan diri dan meninggalkan projek.  Penduduk ucapkan terima kasih diatas bantuan dan perhatian yang telah diberikan oleh Pusat Khidmat KeADILan Kuantan. Para Pegawai Pusat Khidmat memang telah bergegas berjumpa penduduk sebaik sahaj menerima aduan. Malah, saya dimaklumkan sejurus selepas saya melawat kawasan ini, beberapa pihak yang bertanggungjawab telah pun datang untuk menyelesaikan masalah dikawasan perumahan ini.

p1010156  p1010168 p1010137

November 19, 2008 Posted by | Politics | 10 Comments