Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

Kenyataan Media: Adnan Yaakob perdaya Melayu Pahang

Kenyataan Media

20 Mei 2008

Saya menyokong penuh kenyataan oleh Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Saudara Shamsul Iskandar bin Mohd Akin, pada 17 Mei 2008, mengenai pembabitan Menteri Besar Pahang, Adnan bin Yaakob dalam skandal penjualan tanah-tanah Melayu di Ulit, Maran, Pahang.

Surat dari Umno Bahagian Paya Besar kepada Presiden Umno, Abdullah bin Ahmad Badawi yang bertarikh 5hb Mei 2008, rekod Jabatan Tanah mengenai pemilikan tanah-tanah yang terbabit dan rekod dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa Adnan Yaakob telah menyalah gunakan kuasanya sebagai seorang Menteri Besar dengan menggadaikan hak-hak orang Melayu dalam pemilikan tanah di Pahang. Menurut surat kepada Presiden Umno itu, tanah seluas 30000 ekar telah dijual kepada dua syarikat milik kaum tionghua bernilai RM600 juta.

Adnan Yaakob telah memperdayakan rakyat Melayu Pahang. Transaksi yang tidak bertanggungjawab seumpama ini disaluti risiko yang tinggi dalam menimbulkan suasana syak wasngka di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini secara berterusan.

Di kala sebahagian rakyat Pahang sedang menghadapi pelbagai kesusahan dan tanpa memiliki keperluan asas seperti tanah dan perumahan, gelagat rakus dan gelojoh Menteri Besar Pahang ini, menjadikan rakyat, khususnya orang Melayu, berasa tidak dilindungi, dan tidak berasa selamat di bawah pemerintahan kerajaan Umno-BN Pahang yang diterajui oleh Adnan Yaakob.

Seruan rakyat agar Adnan Yaakob, yang juga menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, disiasat dan diambil tindakan disiplin amatlah menepati gesaan dihapuskan gejala salahguna kuasa, penyelewengan atau rasuah dalam amalan pentadbiran urusan rakyat jelata.

Fuziah Salleh

Ahli Parlimen Kuantan

Ketua Bahagian KeADILan Kuantan

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai kenyataan media di atas, sila hubungi:

Pn Rozaini binti Mohd Rosli, 019-8502757, rozainiebbm@yahoo.com

May 21, 2008 Posted by | Politics | 10 Comments