Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

Bahas Titah di-Raja saya di Parlimen petang tadi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera & Selamat Tengah hari

Terima Kasih kepada Tuan Yang di-Pertua

Izinkan saya untuk menjunjung kasih ke atas yang dikasihi DYMM Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agung dan seterusnya membahas titah Duli Yang Maha Mulia.

Tuan Yang di-Pertua, di sini, saya ingin mengingatkan diri saya terutamanya serta juga semua Ahli-Ahli yang Berhormat yang berada di Dewan ini, bahawa kita semua telah diberi mandat oleh rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lepas untuk bertanggungjawab di dalam menggubal dasar negara demi kepentingan rakyat dan kebaikan untuk negara.

Saya juga mengingatkan diri saya serta rakan-rakan Ahli yang Berhormat bahawa Amanah yang diberikan ini terlalu besar dan tidak seharusnya kita sia-siakan. Kita harus meletakkan kepentingan rakyat sebagai utama serta mampu membuat pertimbangan yang menjangkau batasan parti demi kebaikan rakyat.

Supaya jangan sekali-kali kita menjadikan dewan yang mulia ini sebagai platform untuk mencari populariti murahan, di samping sengaja mencari jalan untuk melabel, menghina ataupun menghukum pihak lawan dengan sikap yang prejudis, semata-mata kerana menjadi jaguh kampung, ingin menjadi hero, konon….

Janganlah kita juga menjadi macam ayam jantan, kokok berderai-derai tapi ekor penuh tahi. Paku dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih….. Satu jari menuding orang lain empat jari menunjuk ke diri sendiri.

Semoga kita semua dipelihara dan dilindungi Allah SWT dari sifat-sifat yang demikian.

Tuan Yang di-Pertua,

Semalam merupakan hari pengiktirafan Ibu. Belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ kepada semua para ibu di sini. Walaupun saya berpendirian bahawa setiap hari seharusnya merupakan Hari Ibu kerana sumbangan ibu itu tidak ternilai, akan tetapi perlu ada satu hari untuk kita mengiktiraf akan sumbangan para ibu.

Tatkala anak-anak seluruh dunia mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu-ibu mereka, di masa ini juga, ibu Sharlinie masih tertunggu-tunggu akan kepulangan anak beliau. Ibu Nureen Jazlin juga masih pilu mengingatkan cara pemergian anak gadis beliau. Bagaimana pula denagn ibu Mawi? Adik Mawi juga masih belum ditemui?

Tuan Yang di-Pertua,

Sharlinie, Nureen dan Mawi adalah anak-anak kita.

Penderitaan ibu mereka penderitaan kita juga.

Dua atau tiga dekad lepas keadaan di negara kita tidak begini, keadaan amat selamat. Tatkala kita sedang membesar, ibu bapa kita tidak risau sekiranya kita pergi bermain di hujung kampung atau berjalan seorang diri, cari biji getah. Akan tetapi keadaan berlainan sekali di waktu ini. Anak kita kini sudah tidak selamat bermain di depan rumah mahupun di kawasan berdekatan. Malah kita tidak akan senang hati sekiranya kita tidak melihat dia masuk ke kawasan sekolah se waktu menghantar dan menunggu di pagar sekolah se waktu pulang. Bagi anak-anak yang naik bas, ibu bapa tidak akan senang hati sekiranya anak kita perlu berjalan beberapa ratus meter di antara tempat bas berhenti sehingga beliau masuk pagar rumah. Sekiranya ada kawasan semak yang dilalui, lagilah ibu bapa kecut perut, dan berasa susah hati.

Tuan Yang di-Pertua

KESELAMATAN AWAM

Kesejahteraan rakyat bergantung kepada sejauh mana keselamatan awam berjaya dikekalkan oleh pihak berkuasa dan kerajaan yang mentadbir. Ianya melibatkan usaha-usaha mencegah dan melindungi rakyat dan orang awam daripada insiden-insiden yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat seperti insiden jenayah seperti rogol, bunuh dan sebagainya.

INDEKS JENAYAH MENINGKAT

Indeks Kualiti Kehidupan Malaysia, MQLI, Malaysian Quality of Life Index, yang dikeluarkan oleh EPU, Unit Perancangan Ekonomi, telah menghebahkan bahawa indeks bagi keselamatan awam di Malaysia merupakan indeks yang paling rendah berbanding dengan indeks-indeks lain yang di senaraikan sebagai kayu ukur kepada Kualiti Kehidupan Rakyat Malaysia. Indeks ini berpandukan bukan sahaja kepada fakta akan tetapi juga berpandukan kepada persepsi rakyat perihal keselamatan mereka.

Kita sedia maklum bahawa kadar jenayah telah meningkat dari 3.8 bagi setiap ribu penduduk dalam tahun 1990 kepada 6.2 di tahun 2002 – Ini merupakan peningkatan hampir dua kali ganda dalam jangkamasa 2 tahun saja!

Statistik dalam tahun 2006 juga tetap menunjukkan peningkatan yang berterusan.


Pada tahun lepas Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu mengatakan bahawa index jenayah telah mencatatkan penambahan 8.7 peratus dalam 5 bulan yang pertama 2007 berbanding dengan jangka waktu yang sama pada tahun sebelumnya.

Juga terdapat 8.2 kes rogol dilaporkan sehari dalam 6 bulan yang pertama tahun lepas berbanding 4 kes sehari tahun 2003 dan 6.7 kes sehari dalam tahun 2006.

Tuan yang di-Pertua ,

Fakta ini membawa maksud bahawa sepanjang hari kita bermesyuarat di sini lapan orang anak gadis kita di laporkan dirogol. Mungkin satu di Perlis, satu di Kedah, satu di Johor, dan sebagainya. Mungkin juga bilangannya lebih dari itu dan banyak lagi yang tidak dilaporkan kepada pihak polis atas sebab malu ataupun takut.

Keadaan ini tidak wajar diterima bulat-bulat oleh rakyat Malaysia kerana kita berhak untuk hidup di dalam keadaan yang selamat tanpa rasa takut. Anak –anak kita berhak untuk menikmati keindahan alam kanak-kanak mereka, tanpa di kongkong dengan terlalu ketat.

Indeks Jenayah meningkat dan terus meningkat di mana keadaan ini membuka satu persoalan yang besar berkenaan dengan pembentukan Suruhanjaya Di- Raja Polis tahun 2004 yang antara tujuannya ialah untuk membentuk satu Perkhidmatan Polis Bertaraf Dunia di samping menurunkan kadar jenayah dalam negara. Sehingga hari ini persoalan ini kekal sebagai satu persoalan yang harus dituntut oleh seluruh rakyat Malaysia terhadap Ketua Polis Negara. Ibu Sharlinie berhak menyoal, Ibu Nureen berhak menyoal, malah seluruh ibu di Malaysia berhak menyoal Ketua Polis Negara berkenaan tanggungjawab yang tidak tertunai terhadap seluruh rakyat Malaysia..

Tuan Yang di-Pertua

Persoalan: Apakah yang menjadi punca kepada peningkatan jenayah ini , yang perlu diselidiki dan ditangani dengan segera oleh pihak penguatkuasa Keselamatan?

Pernah di satu ketika orang ramai mempunyai satu kepercayaan bahawa jenayah kebanyakannya di dilakukan oleh pendatang asing yang bekerja di negara kita.

Namun Select Comitee Parliament berkenaan Integriti melaporkan disebaliknya; iaitu bahawa 80% daripada jenayah dilakukan oleh orang-orang tempatan. Malah pernah terjadi di mana para penjenayah menggunakan loghat orang asing seperti orang Indonesia dengan tujuan melindungi latar belakang mereka.

Hakikatnya pendatang asing hanya bertanggungjawab terhadap 20 % sahaja daripada jumlah kes-kes jenayah.

NISBAH ANGGOTA POLIS KEPADA RAKYAT (Police to Population Ratio)

Saranan Pihak Polis Antarabangsa, Interpol ialah 1: 250. – dimana satu orang anggota polis diperlukan untuk menjaga keselamatan 250 orang awam, merupakan kadar yang perlu di penuhi oleh negara-negara yang serius untuk membenteras jenayah , justeru menjamin keselamatan orang awam.

Laporan di laman-laman web antarabangsa seperti PBB pula melaporkan bahawa Malaysia mempunyai nisbah 1: 295.

Nisbah 1: 295 bermakna bahawa setiap seorang anggota polis boleh ditugaskan untuk menjaga dan memelihara keselamatan seramai 295 orang penduduk Malaysia. Nisbah yang sedemikian memberi implikasi bahawa jika dirancang dengan baik dari sudut pengurusan tenaga manusia, kecekapan anggota polis hanya perlu ditingkatkan bagi menjamin mutu dan kualiti kepolisian yang lebih baik dalam memelihara keselamatan awam.

Ini satu angka yang munasabah memandangkan negara besar seperti Canada mempunyai nisbah 1: 441

Police-Population Ratio of some selected Countries

SL.

Country

People-Police Ratio

1

Bangladesh

1: 1200

2

India

1: 728

3

Philippines

1: 665

4

Pakistan

1: 625

5

Japan

1: 563

6

New Zealand

1: 416

7

Singapore

1: 295

8

Malaysia

1: 249

9

Thailand

1: 228

10

Hong Kong

1: 220

11. Germany 1: 330

12. UK 1: 500

Akan tetapi di masa yang sama laporan dari Pengarah Jawatankuasa Pengurusan di Bukit Aman melaporkan bahawa nisbah polis kepada rakyat di bandar-bandar besar di Malaysia, bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi adalah jauh lebih tinggi.

Contoh:

Subang Jaya, nisbah polis kepada rakyat ialah 1:10,870

Ada empat puluh enam orang polis termasuklah yang menjaga penyiasatan, lock up dan juga tugas-tugas am sementara bilangan penduduk ialah dalam 500,000 orang.

Di Johor Bharu, Balai Polis Sentral di bandar mempunyai lapan puluh tujuh orang pegawai dan anggota menjaga 805,152 orang bilangan penduduk. Nisbahnya ialah 1:9254.

Di Kuantan (penduduknya seramai 430000 orang), seorang anggota polis dibebankan dengan menjaga keselamatan 8000 orang penduduk.

Manakala di suatu daerah dalam kawasan Kuantan, Air Putih, 7 orang anggota polis telah ditugaskan untuk menjaga hampr 50000 orang penduduk di situ; nisbah 1:7100

Kadar jenayah di Kuantan adalah antara yang tertingi di Malaysia dan kajian menunjukkan bahawa kompleks-kompleks membeli belah di Kuantan juga tersenarai sebagai tempat-tempat yang tidak begitu selamat bagi para pengunjung.

Tentu sekali mustahil bagi pihak penguatkuasa keselamatan membenteras jenayah dengan bilangan tersebut.

Nisbah bandar-bandar ibu negara lain

Contoh,

New York mempunyai 1:197,

London 1:285,

Berlin 1:124,

Shefield 1:545, and

Manchester 1:376.

Terdapat satu percanggahan di sini di mana nisbah polis kepada rakyat di bandar-bandar besar di Malaysia jauh ke belakang berbanding dengan bandar besar di negara lain.

Nisbah Nasional berbanding Nisbah di peringkat local (tempatan) amat jauh bezanya.

Terpamer sesuatu yang tidak tepat mengenai keutamaan dan prioriti perihal pengagihan dan pengerahan tenaga anggota polis di mana Malaysia yang mempunyai nisbah yang lebih baik di peringkat nasional berbanding Canada dan Germany, akan tetapi nisbah polis kepada rakyat di bandar-bandar besar pula jauh bezanya berbanding dengan bandar-bandar besar lain di dunia.

Masalah deployment -Pengagihan dan Pengerahan Anggota Polis perlu di persoalkan disini.

Pihak Ketua Polis Negara wajib memberi penjelasan kepada rakyat tentang sebab perkara kesilapan ini berlaku sehingga natijah yang kita lihat ialah nisbah polis : kepada rakyat setinggi 1:10,000 di kawasan bandar-bandar besar!

Saya ingin bertanya kepada Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negara perlu memperjelaskannya… Adakah kemungkinan terlalu ramai anggota Polis di agihkan kepada Cawangan Khas dan kepada Unit Simpanan? Di sinikah prioriti pihak Polis? Dan bukan di dalam agenda memerangi jenayah? Kenapa saya berkata demikian?

Tuan Yang di-Pertua,

Bukankah terlalu ramai anggota Unit Simpanan Persekutuan FRU, digunakan untuk menjaga keselamatan ketika berlakunya demonstrasi aman – bila saja ada demonstrasi, tunjuk perasaan, walau aman bagaimana sekalipun terlalu ramai FRU dihantar ke tempat lokasi berkenaan. Malah di Taman Mahkota Cheras pun apabila penduduk di situ menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pemaju jalan, unit FRU juga dihantar untuk menghalang mereka.

Di Kuantan, dua hari lepas di dalam satu program dalam kawasan saya, di mana tujuh orang anggota Cawangan Khas dihantar untuk memantau program yang hanya dihadiri oleh 150 orang. 150 orang ini merupakan orang kurang upaya, ibu-ibu tunggal beserta orang-orang miskin sekitar Kuantan yang diberi anugerah Sijil Takaful berkelompok Khairat Kematian. Tujuh orang anggota Cawangan Khas dari IPD & IPK di hantar untuk mengambil maklumat, mengambil video serta mangambil gambar. Adakah 150 orang ini menggangu ketenteraman awam – 150 orang golongan orang miskin, kurang upaya dan ibu tunggal ? Dan wajarkah sehingga tujuh orang dihantar keprogram tersebut untuk menjaga 150 orang, sedangkan hanya tjuh orang anggota ditugaskan menjaga 50,000 orang penduduk di kawasan Air Putih yang terpaksa pula menjalankan tugas secara syif?

Di masa yang sama, satu lagi balai polis di Tanjung Lumpur, satu kawasan yang bilangan penduduknya agak ramai juga, mempunyai 2-3 anggota polis, yang ditugaskan menjaga keselamatan penduduk di situ. Akan tetapi setiap kali kereta saya melalui di hadapan balai polis Tg Lumpur, dalam masa setengah jam, pihak polis balai akan menalipon pembantu peribadi saya untuk menanyakan ke mana pergerakan kami.

Persoalan saya, perlukah dilakukan sedemikian. Adakah keselamatan awam yang perlu dijaga oleh polis, ataupun adakah pihak polis ditugaskan untuk menjaga kepentingan Kerajaan Barisan Nasional di Kuantan dan seterusnya di Pahang?

Adakah kehadiran seorang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat terlalu menggugat keselamatan sehingga terpaksa mengerahkan bilangan yang begitu ramai mengawasi pergerakan Ahli-Ahli Pakatan Rakyat?

Sekali lagi keutamaan pengagihan anggota pihak polis tidak dilakukan secara adil dan wajar. Jangan jadikan pihak Polis sebagai alat kepada menjaga keselamatan pihak Kerajaan Barisan Nasional – berilah keutamaan kepada Pencegahan Jenayah dan juga pembenterasan jenayah. Rakyat tidak wajar lagi dinafikan hak mereka untuk menjalani hidup dengan rasa selamat.

Pihak Kerajaan memberi komitmen bahawa 60,000 orang anggota perlu direkrut dan menjalani latihan. Ini telah dinyatakan beberapa tahun yang lepas dan –hakikatnya kita tidak kekurangan anggota polis. Hakikatnya ialah anggota polis dikerahkan dalam cawangan khas dan bukan untuk membenteras jenayah.

Dimasa yang sama 2000-3000 anggota Polis turut bersara tiap-tiap tahun.

Oleh itu, Tuan Yang di-Pertua, sesuatu perlu dilakukan dengan segera dan dengan penuh komitmen (bagi memperbaiki keadaan kepolisian negara ke tahap Perkhidmatan Polis Bertaraf Dunia).

May 12, 2008 - Posted by | Politics

9 Comments »

  1. Tahniah krn membawa isu yg sangat relevan kpd rakyat dlm sidang parlimen.
    Institusi polis perlu diperkasa dan diletakkan pd tempat yg sepatutnya agar kembali dihormati dan diyakini rakyat.

    Nampaknya Ahli Parlimen dr Pakatan Rakyat dapat menghadam permasalahan rakyat dgn berkesan walaupun kali pertama berbahas.

    Ada juga dikalangan Ahli Parlimen BN yg petah berbahas….nazri aziz, bung mokhtar, mp muar-hero baru dan lain-lain. Hhmmm…..mungkin cermin kereta gelap, pagar rumah konkrit yg tinggi, sarapan pagi di hotel lima bintang membuatkan lidah kelu dan beku fikiran mereka dr menyelami masalah rakyat.

    Lawak terbaru apabila menteri kpdnhep ‘tak perasan’ harga beras naik!

    Comment by SahabatMesra | May 13, 2008

  2. Congrat! This is just the begining … hope more … to see u champions in other aspects of quality life such as greediness, family insitutions – runaway teenager, rempit. Ahh … ur a minister in making. Tahniah!!!

    Comment by khalid al-walid | May 13, 2008

  3. Salam,
    Saya ada perkara yang ingin ditanyakan kepada puan iaitu dari manakah sumber Puan mendapati bahawa Daerah Kuantan mempunyai kadar jenayah tertinggi sedangkan fakta dari PDRM menunjukkan Kuantan antara bandar yang paling selamat di Malaysia dan ini bercanggah dengan kenyataan oleh puan sendiri. Begitu juga dengan negeri Pahang yang dikategorikan antara negeri paling selamat di Malaysia. Saya amat bersyukur dengan tempat keadaan aman di kampung halaman saya dan tidak perlu untuk puan memanipulasikan keadaan dengan kenyataan yang bercanggah.

    Terima kasih

    Comment by izzo | May 20, 2008

  4. Sdr Izzo,
    Sdr ada hak terhadap pendirian sendiri.
    Walaubagaimanapun, Menteri Dalam Negeri didalam jawapan balas kepada bahas titah Agung telah pun menyatakan bahawa beliau setuju hal kadar jenayah kian meningkat dan juga dengan jelas mengatakan bahawa beliau bersetuju dengan pandangan saya didalam perbahasan yang telah saya ketengahkan. Juga berkenaan isu ‘ deployment’ atau pengagihan tenaga sebagai masalah yang selama ini tidak di tangani di dalam strategi membenteras jenayah. Juga hal ratio polis kepada rakyat yang saya ketengahkan secara micro, YB Menteri juga telah bersetuju.
    Sila Rujuk Penyata Rasmi Parlimen (Minit Mesyuarat) bertarikh 14 Mei 2008

    Semoga Sdr terbuka hati untuk menerima kenyataan. Sebagai ahli Parlimen yang bertanggungjawab, saya mempunyai tanggungjawab untuk tidak berkata sesuatu yang tidak di backup dengan fakta dan data kerana semuanya akan masuk ke hansard dimana boleh diaccess ramai. Ianya melibatkan kredibiliti seseorang

    Mohon Maaf, saya tidak meletakkan diri saya didalam kategori seperti yang dikatakan sdr izzo .

    Comment by Fuziah Salleh | May 20, 2008

  5. .

    Comment by SahabatMesra | May 27, 2008

  6. Alhamdulillah…isu yang amat releven…ini satu kisah benar dan harap2 sudah diambil tindakan pada pihak berwajib.baru baru ini kami sekeluarga yang dalam perjalanan pulang dr bdr kuantan ke air putih.dengan nisbah amat membimbangkan bagi polis d kawasan air putih saya rasa polis peronda d kawasan air putih mesti amat sibuk,tapi lain pula jadinya hari itu sebab kami sekeluarga ternampak 2 orang anggota polis berpakaian seragam sedang bermain daun terup d gerai pemilih warga thailand.cuma saya x pasti sama ada mereka berjudi atau tidak.cuma pendapat saya, bagi kita umat islam malahan polis yang berpakaian seragam lengkap dengan kereta peronda sedang bermain daun terup…logik atau tidak?mungkin dengan kebaikan kita sehari dengan penuh ikhlas akan dapat membantu anak seagama kita selama sepuluh tahun……

    Comment by x umno_jr | June 20, 2008

  7. salam…bagus sungguh Yb yang sorang nie, concern pada anak2 malaysia…cuma saya nak tahu, macamana pula dengan anak-anak YB? dah terurus dengan baik??

    jangan hanya pandai menuding jari mencari kesalahan orang lain, tapi kesalahan sendiri pandang sebelah mata…..kirim salam dekat anak-anak YB ya…

    Comment by sayaanakmalaysia | October 6, 2008

  8. Salam YB,

    Isu yang begitu relevent dan bagus sekali. Tiada siapa yg boleh menafikan kadar indek jenayah telah meningkat. Saya yg mempunyai anak, begitu risau untuk membenarkan mereka bermain di luar rumah walau pun pintu pagar berkunci. Saya mungkin tidak bersetuju dgn semua apa yg YB katakan, tetapi isu yg YB bawa sangat penting dah harus di bahaskan dgn lebih lanjut.
    Saya berharap YB boleh memperjuangkan isu ini di parliment

    Comment by Boyot | October 14, 2008

  9. nampaknya YB rajin membuat kajian..

    bagus jika polis dapat menjawab dakwaan YB terhadap perkara berkaitan polis sebagai alat kerajaan BN.

    mcm kes di bukit antarabangsa polis tentera dituduh curi harta benda penduduk..

    ibarat bagi madu dibalas tuba – selepas mereka penat lelah jaga dan tolong mangsa…

    YB tulis :

    ” Pihak Kerajaan memberi komitmen bahawa 60,000 orang anggota perlu direkrut dan menjalani latihan. Ini telah dinyatakan beberapa tahun yang lepas dan –hakikatnya kita tidak kekurangan anggota polis. Hakikatnya ialah anggota polis dikerahkan dalam cawangan khas dan bukan untuk membenteras jenayah. ”

    itu statement tidak berapa tepat bagi saya…

    harap dpt betulkan persepsi..sekurang2 nya utk diri YB.

    agar rakyat tak fikir sama kotornya dengan otak YB yang sudah tak dapat lagi nak terima jasa jasa polis dalam menjaga keselamatan negara dan rakyat kita.

    salam hormat.

    Comment by Panglima | December 17, 2008


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: