Bahas Titah di-Raja saya di Parlimen petang tadi
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera & Selamat Tengah hari
Terima Kasih kepada Tuan Yang di-Pertua
Izinkan saya untuk menjunjung kasih ke atas yang dikasihi DYMM Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agung dan seterusnya membahas titah Duli Yang Maha Mulia.
Tuan Yang di-Pertua, di sini, saya ingin mengingatkan diri saya terutamanya serta juga semua Ahli-Ahli yang Berhormat yang berada di Dewan ini, bahawa kita semua telah diberi mandat oleh rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lepas untuk bertanggungjawab di dalam menggubal dasar negara demi kepentingan rakyat dan kebaikan untuk negara.
Saya juga mengingatkan diri saya serta rakan-rakan Ahli yang Berhormat bahawa Amanah yang diberikan ini terlalu besar dan tidak seharusnya kita sia-siakan. Kita harus meletakkan kepentingan rakyat sebagai utama serta mampu membuat pertimbangan yang menjangkau batasan parti demi kebaikan rakyat.
Supaya jangan sekali-kali kita menjadikan dewan yang mulia ini sebagai platform untuk mencari populariti murahan, di samping sengaja mencari jalan untuk melabel, menghina ataupun menghukum pihak lawan dengan sikap yang prejudis, semata-mata kerana menjadi jaguh kampung, ingin menjadi hero, konon….
Janganlah kita juga menjadi macam ayam jantan, kokok berderai-derai tapi ekor penuh tahi. Paku dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih….. Satu jari menuding orang lain empat jari menunjuk ke diri sendiri.
Semoga kita semua dipelihara dan dilindungi Allah SWT dari sifat-sifat yang demikian.
Tuan Yang di-Pertua,
Semalam merupakan hari pengiktirafan Ibu. Belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ kepada semua para ibu di sini. Walaupun saya berpendirian bahawa setiap hari seharusnya merupakan Hari Ibu kerana sumbangan ibu itu tidak ternilai, akan tetapi perlu ada satu hari untuk kita mengiktiraf akan sumbangan para ibu.
Tatkala anak-anak seluruh dunia mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu-ibu mereka, di masa ini juga, ibu Sharlinie masih tertunggu-tunggu akan kepulangan anak beliau. Ibu Nureen Jazlin juga masih pilu mengingatkan cara pemergian anak gadis beliau. Bagaimana pula denagn ibu Mawi? Adik Mawi juga masih belum ditemui?
Tuan Yang di-Pertua,
Sharlinie, Nureen dan Mawi adalah anak-anak kita.
Penderitaan ibu mereka penderitaan kita juga.
Dua atau tiga dekad lepas keadaan di negara kita tidak begini, keadaan amat selamat. Tatkala kita sedang membesar, ibu bapa kita tidak risau sekiranya kita pergi bermain di hujung kampung atau berjalan seorang diri, cari biji getah. Akan tetapi keadaan berlainan sekali di waktu ini. Anak kita kini sudah tidak selamat bermain di depan rumah mahupun di kawasan berdekatan. Malah kita tidak akan senang hati sekiranya kita tidak melihat dia masuk ke kawasan sekolah se waktu menghantar dan menunggu di pagar sekolah se waktu pulang. Bagi anak-anak yang naik bas, ibu bapa tidak akan senang hati sekiranya anak kita perlu berjalan beberapa ratus meter di antara tempat bas berhenti sehingga beliau masuk pagar rumah. Sekiranya ada kawasan semak yang dilalui, lagilah ibu bapa kecut perut, dan berasa susah hati.
Tuan Yang di-Pertua
KESELAMATAN AWAM
Kesejahteraan rakyat bergantung kepada sejauh mana keselamatan awam berjaya dikekalkan oleh pihak berkuasa dan kerajaan yang mentadbir. Ianya melibatkan usaha-usaha mencegah dan melindungi rakyat dan orang awam daripada insiden-insiden yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat seperti insiden jenayah seperti rogol, bunuh dan sebagainya.
INDEKS JENAYAH MENINGKAT
Indeks Kualiti Kehidupan Malaysia, MQLI, Malaysian Quality of Life Index, yang dikeluarkan oleh EPU, Unit Perancangan Ekonomi, telah menghebahkan bahawa indeks bagi keselamatan awam di Malaysia merupakan indeks yang paling rendah berbanding dengan indeks-indeks lain yang di senaraikan sebagai kayu ukur kepada Kualiti Kehidupan Rakyat Malaysia. Indeks ini berpandukan bukan sahaja kepada fakta akan tetapi juga berpandukan kepada persepsi rakyat perihal keselamatan mereka.
Kita sedia maklum bahawa kadar jenayah telah meningkat dari 3.8 bagi setiap ribu penduduk dalam tahun 1990 kepada 6.2 di tahun 2002 – Ini merupakan peningkatan hampir dua kali ganda dalam jangkamasa 2 tahun saja!
Statistik dalam tahun 2006 juga tetap menunjukkan peningkatan yang berterusan.
Pada tahun lepas Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu mengatakan bahawa index jenayah telah mencatatkan penambahan 8.7 peratus dalam 5 bulan yang pertama 2007 berbanding dengan jangka waktu yang sama pada tahun sebelumnya.
Juga terdapat 8.2 kes rogol dilaporkan sehari dalam 6 bulan yang pertama tahun lepas berbanding 4 kes sehari tahun 2003 dan 6.7 kes sehari dalam tahun 2006.
Tuan yang di-Pertua ,
Fakta ini membawa maksud bahawa sepanjang hari kita bermesyuarat di sini lapan orang anak gadis kita di laporkan dirogol. Mungkin satu di Perlis, satu di Kedah, satu di Johor, dan sebagainya. Mungkin juga bilangannya lebih dari itu dan banyak lagi yang tidak dilaporkan kepada pihak polis atas sebab malu ataupun takut.
Keadaan ini tidak wajar diterima bulat-bulat oleh rakyat Malaysia kerana kita berhak untuk hidup di dalam keadaan yang selamat tanpa rasa takut. Anak –anak kita berhak untuk menikmati keindahan alam kanak-kanak mereka, tanpa di kongkong dengan terlalu ketat.
Indeks Jenayah meningkat dan terus meningkat di mana keadaan ini membuka satu persoalan yang besar berkenaan dengan pembentukan Suruhanjaya Di- Raja Polis tahun 2004 yang antara tujuannya ialah untuk membentuk satu Perkhidmatan Polis Bertaraf Dunia di samping menurunkan kadar jenayah dalam negara. Sehingga hari ini persoalan ini kekal sebagai satu persoalan yang harus dituntut oleh seluruh rakyat Malaysia terhadap Ketua Polis Negara. Ibu Sharlinie berhak menyoal, Ibu Nureen berhak menyoal, malah seluruh ibu di Malaysia berhak menyoal Ketua Polis Negara berkenaan tanggungjawab yang tidak tertunai terhadap seluruh rakyat Malaysia..
Tuan Yang di-Pertua
Persoalan: Apakah yang menjadi punca kepada peningkatan jenayah ini , yang perlu diselidiki dan ditangani dengan segera oleh pihak penguatkuasa Keselamatan?
Pernah di satu ketika orang ramai mempunyai satu kepercayaan bahawa jenayah kebanyakannya di dilakukan oleh pendatang asing yang bekerja di negara kita.
Namun Select Comitee Parliament berkenaan Integriti melaporkan disebaliknya; iaitu bahawa 80% daripada jenayah dilakukan oleh orang-orang tempatan. Malah pernah terjadi di mana para penjenayah menggunakan loghat orang asing seperti orang Indonesia dengan tujuan melindungi latar belakang mereka.
Hakikatnya pendatang asing hanya bertanggungjawab terhadap 20 % sahaja daripada jumlah kes-kes jenayah.
NISBAH ANGGOTA POLIS KEPADA RAKYAT (Police to Population Ratio)
Saranan Pihak Polis Antarabangsa, Interpol ialah 1: 250. – dimana satu orang anggota polis diperlukan untuk menjaga keselamatan 250 orang awam, merupakan kadar yang perlu di penuhi oleh negara-negara yang serius untuk membenteras jenayah , justeru menjamin keselamatan orang awam.
Laporan di laman-laman web antarabangsa seperti PBB pula melaporkan bahawa Malaysia mempunyai nisbah 1: 295.
Nisbah 1: 295 bermakna bahawa setiap seorang anggota polis boleh ditugaskan untuk menjaga dan memelihara keselamatan seramai 295 orang penduduk Malaysia. Nisbah yang sedemikian memberi implikasi bahawa jika dirancang dengan baik dari sudut pengurusan tenaga manusia, kecekapan anggota polis hanya perlu ditingkatkan bagi menjamin mutu dan kualiti kepolisian yang lebih baik dalam memelihara keselamatan awam.
Ini satu angka yang munasabah memandangkan negara besar seperti Canada mempunyai nisbah 1: 441
Police-Population Ratio of some selected Countries |
|||||||||||||||||||||||||||||||||
|
11. Germany 1: 330
12. UK 1: 500
Akan tetapi di masa yang sama laporan dari Pengarah Jawatankuasa Pengurusan di Bukit Aman melaporkan bahawa nisbah polis kepada rakyat di bandar-bandar besar di Malaysia, bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi adalah jauh lebih tinggi.
Contoh:
Subang Jaya, nisbah polis kepada rakyat ialah 1:10,870
Ada empat puluh enam orang polis termasuklah yang menjaga penyiasatan, lock up dan juga tugas-tugas am sementara bilangan penduduk ialah dalam 500,000 orang.
Di Johor Bharu, Balai Polis Sentral di bandar mempunyai lapan puluh tujuh orang pegawai dan anggota menjaga 805,152 orang bilangan penduduk. Nisbahnya ialah 1:9254.
Di Kuantan (penduduknya seramai 430000 orang), seorang anggota polis dibebankan dengan menjaga keselamatan 8000 orang penduduk.
Manakala di suatu daerah dalam kawasan Kuantan, Air Putih, 7 orang anggota polis telah ditugaskan untuk menjaga hampr 50000 orang penduduk di situ; nisbah 1:7100
Kadar jenayah di Kuantan adalah antara yang tertingi di Malaysia dan kajian menunjukkan bahawa kompleks-kompleks membeli belah di Kuantan juga tersenarai sebagai tempat-tempat yang tidak begitu selamat bagi para pengunjung.
Tentu sekali mustahil bagi pihak penguatkuasa keselamatan membenteras jenayah dengan bilangan tersebut.
Nisbah bandar-bandar ibu negara lain
Contoh,
New York mempunyai 1:197,
London 1:285,
Berlin 1:124,
Shefield 1:545, and
Manchester 1:376.
Terdapat satu percanggahan di sini di mana nisbah polis kepada rakyat di bandar-bandar besar di Malaysia jauh ke belakang berbanding dengan bandar besar di negara lain.
Nisbah Nasional berbanding Nisbah di peringkat local (tempatan) amat jauh bezanya.
Terpamer sesuatu yang tidak tepat mengenai keutamaan dan prioriti perihal pengagihan dan pengerahan tenaga anggota polis di mana Malaysia yang mempunyai nisbah yang lebih baik di peringkat nasional berbanding Canada dan Germany, akan tetapi nisbah polis kepada rakyat di bandar-bandar besar pula jauh bezanya berbanding dengan bandar-bandar besar lain di dunia.
Masalah deployment -Pengagihan dan Pengerahan Anggota Polis perlu di persoalkan disini.
Pihak Ketua Polis Negara wajib memberi penjelasan kepada rakyat tentang sebab perkara kesilapan ini berlaku sehingga natijah yang kita lihat ialah nisbah polis : kepada rakyat setinggi 1:10,000 di kawasan bandar-bandar besar!
Saya ingin bertanya kepada Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negara perlu memperjelaskannya… Adakah kemungkinan terlalu ramai anggota Polis di agihkan kepada Cawangan Khas dan kepada Unit Simpanan? Di sinikah prioriti pihak Polis? Dan bukan di dalam agenda memerangi jenayah? Kenapa saya berkata demikian?
Tuan Yang di-Pertua,
Bukankah terlalu ramai anggota Unit Simpanan Persekutuan FRU, digunakan untuk menjaga keselamatan ketika berlakunya demonstrasi aman – bila saja ada demonstrasi, tunjuk perasaan, walau aman bagaimana sekalipun terlalu ramai FRU dihantar ke tempat lokasi berkenaan. Malah di Taman Mahkota Cheras pun apabila penduduk di situ menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pemaju jalan, unit FRU juga dihantar untuk menghalang mereka.
Di Kuantan, dua hari lepas di dalam satu program dalam kawasan saya, di mana tujuh orang anggota Cawangan Khas dihantar untuk memantau program yang hanya dihadiri oleh 150 orang. 150 orang ini merupakan orang kurang upaya, ibu-ibu tunggal beserta orang-orang miskin sekitar Kuantan yang diberi anugerah Sijil Takaful berkelompok Khairat Kematian. Tujuh orang anggota Cawangan Khas dari IPD & IPK di hantar untuk mengambil maklumat, mengambil video serta mangambil gambar. Adakah 150 orang ini menggangu ketenteraman awam – 150 orang golongan orang miskin, kurang upaya dan ibu tunggal ? Dan wajarkah sehingga tujuh orang dihantar keprogram tersebut untuk menjaga 150 orang, sedangkan hanya tjuh orang anggota ditugaskan menjaga 50,000 orang penduduk di kawasan Air Putih yang terpaksa pula menjalankan tugas secara syif?
Di masa yang sama, satu lagi balai polis di Tanjung Lumpur, satu kawasan yang bilangan penduduknya agak ramai juga, mempunyai 2-3 anggota polis, yang ditugaskan menjaga keselamatan penduduk di situ. Akan tetapi setiap kali kereta saya melalui di hadapan balai polis Tg Lumpur, dalam masa setengah jam, pihak polis balai akan menalipon pembantu peribadi saya untuk menanyakan ke mana pergerakan kami.
Persoalan saya, perlukah dilakukan sedemikian. Adakah keselamatan awam yang perlu dijaga oleh polis, ataupun adakah pihak polis ditugaskan untuk menjaga kepentingan Kerajaan Barisan Nasional di Kuantan dan seterusnya di Pahang?
Adakah kehadiran seorang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat terlalu menggugat keselamatan sehingga terpaksa mengerahkan bilangan yang begitu ramai mengawasi pergerakan Ahli-Ahli Pakatan Rakyat?
Sekali lagi keutamaan pengagihan anggota pihak polis tidak dilakukan secara adil dan wajar. Jangan jadikan pihak Polis sebagai alat kepada menjaga keselamatan pihak Kerajaan Barisan Nasional – berilah keutamaan kepada Pencegahan Jenayah dan juga pembenterasan jenayah. Rakyat tidak wajar lagi dinafikan hak mereka untuk menjalani hidup dengan rasa selamat.
Pihak Kerajaan memberi komitmen bahawa 60,000 orang anggota perlu direkrut dan menjalani latihan. Ini telah dinyatakan beberapa tahun yang lepas dan –hakikatnya kita tidak kekurangan anggota polis. Hakikatnya ialah anggota polis dikerahkan dalam cawangan khas dan bukan untuk membenteras jenayah.
Dimasa yang sama 2000-3000 anggota Polis turut bersara tiap-tiap tahun.
Oleh itu, Tuan Yang di-Pertua, sesuatu perlu dilakukan dengan segera dan dengan penuh komitmen (bagi memperbaiki keadaan kepolisian negara ke tahap Perkhidmatan Polis Bertaraf Dunia).
Dari Parlimen hari ini (2)
Laporan Rozaini:
2.35pm
Pn Fuziah Salleh sedang membahas Titah Diraja.
Usaha akan dibuat untuk meletakkan ucapan audio beliau di sini.
Beliau sedang menghuraikan nisbah anggota polis kepada bilangan rakyat.
Interpol 1:250(seorang anggota polis menjaga 250 orang rakyat)
UN : 1:295
Kuantan: 1: 8000
Air Putih (satu kawasan dalam kawsaan penyeliaan Polis Kuantan) 1: 7000
Tidak hairan, sekiranya jenayah meningkat kerana nisbah-nisbah tesebut mempamerkan inefficiency PDRM dalam deployment of the police force untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malasyia.
Terlalu ramai ke cawangan khas dan unit simpanan persekutuan (FRU).
Lihat saja Majlis Augerah Sijil Takaful di Kuantan baru-baru ini, telah didatangi oleh 7 orang polis cawangan khas untuk mengambil dan mengumpul maklumat serta mengambil gambar.2.50pm
Puan Fuziah Salleh telah berucap selama kira-kira 16 minit 21 saat.
Dari Parlimen hari ini
Laporan oleh Rozaini:
11.45pm. Khairy J. sedang berucap.
12.00 pm Khairy J. terus berucap dan Dewan Rakyat menjadi terlalu kecoh kerana beliau tidak membenarkan sebarang bentuk penjelasan dan pertanyaan tentang pertuduhan dan perkara-perkara yang beliau timbulkan.
Sebentar lagi Pn Fuzah Salleh akan berucap.
Tetapi kekecohan belum reda.
Akhirnya Khairy berhenti kira-kira jam 12.24pm.
Pn Fuziah Salleh masih menunggu gilirannya. Sedang berucap ialah Ahli Parlimen Kalabakan(BN).
YB Kalabakan telah menyuarakan suara hati rakyat Sabah bahawa Kerajaan BN telah menganaktirikan rakyat Sabah. Peruntukan-peruntukan berbilion-bilion telah tidak sampai kepada rakyat.
Tsunami Politik, kata beliau, akan sampai ke Sabah jika keadilan kepada rakyat tidak dilaksanakan.
Mendesak mengendali masalah pendatang asing di Sabah – jangan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Kelengkapan polis di Sabah tiada. Di Sabah polis mesti guna 4-wheel drive bukan proton Saga yang telah usang.
Beliau menegetengahkan pandangan Datuk Haris Salleh yang telah memohon dalam akhbar agar Kerajaan BN menyelesaikan isu pendatang haram segera kerana ditakuti bahawa nanti Sabah mungkin diminta untuk tidak lagi berada dalam kerajaan Persekutuan Malaysia kerana ramainya bilangan pendatang asing.
Beliau menimbulkan bahawa ada 7 menteri penting datangnya dari satu negeri. Dan ada negeri yang kalah dapat 4 kementerian yang penting.
Rakyat Sabah ingin diambil serius oleh Kerajaan Persekutuan BN. Jika tidak, tsunami politik akan berlaku di Sabah.
Jika permasalahan rakyat tidak diselesaikan, nanti rakyat akan menyelesaikan kita (menunjuk kepada Ahli-Ahli Parlimen BN).
Permohonan rakyat Sabah : 20% royalti minyak patut diberi bukan hanya 5 % seperti sekarang.
12.57pm
Ucapan Pn Fuziah Salleh selepas ini jam 2.30pm.
Majlis Anugerah Smart Takaful di Kuantan
Pada 10hb Mei lalu telah menyaksikan seramai 150 orang penerima anugerah takaful terebut telah berhimpun dan menerima sijil-sijil takaful di majlis penganugerahan tersebut.
Turut hadir ialah sahabat saya Tuan Syed Rahman, Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuantan.