Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

Ada ape pada cuti 5 tahun, Najib?

Rozaini sent me her indignation at Najib’s statement wooing the women:

Saya hairan kenapa tiba-tiba saja benda baru yang agak janggal dihidangkan oleh BN (lihat laporan akhbar di bawah) memandangkan bahawa janji-janji terdahulu belum dipenuhi.

Tetapi, cuba kita fikirkan bersama…tidakkah menjaga dn mendidik anak itu suatu pekerjaan atau kareer juga? Itulah mentaliti para pemimpin BN yang kurang melihat sesuatu lebih dari strategi meraih undi dan sokongan dalam pilihanraya.

Setahu saya, wanita sebelum ini dijanjikan dengan cuti bersalin beserta gaji penuh untuk 90 hari selepas bersalin dan kemudahan penjagaan anak di setiap jabatan kerajaan dan swasta. Itu priority atau yang utamanya, yang belum dipenuhi oleh kerajaan BN.

Tidak dinafikan memang baik para ibu memilih untuk tidak bekerja dan menjaga anak. Tapi bagi ramai ibu, mereka tidak mampu untuk berbuat demikian kerana keperluan ekonomi keluarga yang mendesak. Dan bagi ibu tunggal, pelepasan ini tidak memberi apa-apa erti kepada mereka. Golongan ibu tunggal ini makin meningkat setiap tahun.

Beginilah selalunya cara BN menyelesaikan masalah – jarang sekali atau tidak langsung terlebih dahulu mengambilkira keperluan rakyat jelata yang mempunyai berbagai-bagai kesulitan yang berbeza. Jika benar prihatin setulusnya, kerajaan sewajarnya menyedia dan memberi kemudahan dan perkhidmatan yang menepati keperluan wanita yang berbeza-beza. Ia bukanlah sesuatu yang payah – hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Banyak contoh di dalam dan di luar negara yang telah berjaya mewujudkan model-model yang membantu wanita bekerja dalam mengimbangi pengurusan rumahtangga dan kerjaya mereka. Ada kajian telah menunjukkan bahawa tidak semestinya bahawa wanita yang tidak bekerja akan memastikan anak-anak mereka menjadi orang-orang yang berguna di masa hadapan. Dan sebaliknya, ada wanita yang bekerjaya telah berjaya mendidik anak-anak menjadi baik, lagi mengajak orang lain berbuat baik. Sebenarnya kualiti pendidikan anak-anak oleh para ibu bergantung kepada ilmu yang dimiliki oleh mereka. Berada di rumah bersama anak-anak secara zahir tanpa pengetahuan yang perlukan dalam pendidikan anak-anak akan menjadi sesuatu yang merugikan.

Negara-negara maju telah menjalankan beberapa penyelesaian (work flexibility) bagi wanita bekerja yang mempunyai anak seperti:

Jadual kerja yang fleksibel (flexitime)

Fleksibiliti menyiapkan kerja di rumah (telecommuting)

Kongsi kerja (job sharing)

Kerja tidak sepenuh masa (part-time work)

Menyiapkan kerja dalam waktu yang lebih pendek (compressed work week)

Dengan itu wanita lebih berupaya mengurus masa bersama anak-anak dan mengurus rumahtangga mereka.

Yang terbaik adalah memberikan cuti bersalin selama 2 tahun dengan sebahagian gaji – dua tahun adalah jangkamasa yang sesuai untuk menyusukan anak (kebaikan susu ibu terlalu banyak – boleh merujuk kepada laman-laman yang berkenaan), menurut agama, para saintis dan doktor.

Dalam pembinaan generasi masa depan, penyelesaian-penyelesaian yang lebih merangkumi kesemua faktor perlulah diambilkira sebelum menetapkan sesuatu mekanisme. Penyelesaian yang independent (berasingan) tanpa mengintegrasikan sektor-sektor lain yang mempunyai kesan terhadap pembinaan generasi masa depan tidak akan mencapai matlamat untuk melihat sebuah generasi masa depan yang memiliki ciri-ciri kepimpinan, daya saing yang hebat dan menjadi warganegara yang berguna kepada semua.

Reformasi atau perubahan dalam cara berfikir dan problem-solving, khususnya dalam menangani permasalahan wanita kerjaya, perlu berlaku. Amatlah sedih, setelah sekian lama, Wanita Malaysia masih belum dilindungi dan diberi hak mereka sebaiknya.

——————————————————————————————

Cuti bersalin 5 tahun — Kerajaan lanjut pelepasan tanpa gaji kakitangan awam jaga anak

Oleh Zabry Mohamad

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kerajaan bersetuju melanjutkan cuti bersalin tanpa gaji bagi kakitangan sektor awam daripada 90 hari sekarang kepada had maksimum lima tahun berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan peraturan baru itu berkata, keputusan tersebut dibuat sejajar dengan hasrat kerajaan supaya anak-anak menerima pendidikan awal yang sempurna.

Keputusan yang dibuat Kabinet dalam mesyuarat mingguan Rabu lalu akan memberi kemudahan tambahan kepada seramai 563,000 wanita yang bekerja dalam sektor awam daripada keseluruhan 1.3 juta kakitangan kerajaan.

Menurut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 10 peratus atau 24,300 daripada 243,000 kakitangan sektor awam berusia antara 18 hingga 39 tahun melahirkan anak setiap tahun.

Menurut Najib, dengan kelonggaran cuti bersalin itu, kakitangan wanita sektor awam boleh menyediakan suasana pembesaran yang lebih baik kepada anak masing-masing terutama dari aspek kesihatan dan psikologi.

‘‘Kanak-kanak yang mendapat didikan, kawalan, tunjuk ajar serta kasih sayang yang baik dan sempurna akan menjadi manusia yang lebih berguna kepada negara pada masa depan,’’ kata Timbalan Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam Ke-12 di sini hari ini.

Persidangan selama dua hari itu yang berlangsung di Kampus Utama Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara di sini dianjurkan bersama Intan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD).

Lebih 600 orang menyertai persidangan itu termasuk dari Australia, Brunei, Filipina, Singapura dan Tanzania.

Najib memberitahu, cuti bersalin tersebut boleh dipecah-pecahkan kepada beberapa kali dengan jumlah keseluruhan cuti bersalin tanpa gaji tidak melebihi lima tahun.

Pada awal Ogos lalu, beberapa pihak mencadangkan JPA mengkaji kemungkinan memberi kelonggaran kepada kakitangan wanita untuk berhenti sementara daripada pekerjaan bagi melahirkan anak dan kembali bekerja setelah anak mereka membesar.

Menurut Najib, keputusan melonggarkan cuti bersalin itu juga dibuat kerana ramai wanita mahu menjaga kepentingan keluarga dan pada masa yang sama ingin terus berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Beliau memberitahu, terpulang kepada kakitangan awam terbabit untuk menentukan jumlah hari cuti bersalin tanpa gaji yang mahu mereka ambil sama ada secara terkumpul atau sedikit demi sedikit.

‘‘Sebagai contoh, selepas cuti bersalin wajib selama 60 hari bagi anak pertama, mereka boleh sambung cuti selama satu hingga dua tahun.

“Begitu juga bagi anak kedua, tempoh cuti yang sama boleh diambil asalkan jumlah cuti terkumpul tidak lebih lima tahun.

‘‘Ini kerana selepas lima tahun, seseorang pekerja boleh hilang daya saing dan seterusnya mengganggu perancangan sumber manusia sesebuah jabatan,’’ jelasnya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sekembalinya bertugas, kakitangan wanita yang mengambil cuti bersalin berhak menerima kenaikan gaji bersyarat sebanyak tiga kali.

‘‘Katakan setiap tahun dia terima kenaikan gaji RM50, maka bila dia kembali bekerja, dia dapat tambahan RM150 daripada gaji asal sebelum dia mengambil cuti panjang,’’ katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

September 4, 2007 - Posted by | Politics

2 Comments »

  1. Nampaknya BN dah terdesak sekarang….. sampai nak mendapat undi wanita.

    Memang 5 tahun cuti tanpa gaji tidak mendapat apa-apa manfaat….. kepada wanita dan keluarga mereka.

    Tanpa sumber kewangan macamana nak hidup…. nak menyara hidup anak-anak.

    Tak sangka kerajaan BN yang dikatakan cerdik pandai…. pun ramai yang boleh mendapat fikiran yang begitu bodoh.

    Nampak wanita BN juga tak ada fikiran yang waras… apa pemimpin cakap….. semua betul.

    satu masalah lagi kalau cuti terlalu panjang:-

    Dunia berubah dgn cepat…. kerja di office pun boleh berubah…… terutama kerja admin yang pakai komputer.

    So kalau wanita dah lama tak kerja…. adakah mereka masih boleh bekerja…. kalau ada perubahan.

    banyak lagi masalah akan timbul bila terlalu panjang cuti. Tak berpihak kepada wanita yang ambil terlalu panjang cuti.

    Hai semua kawan. Tenangkan fikirang kamu…. fikir masak-masak…. banding kebaikan dan keburukan… Jangan ikut apa BN cakap semua betul……

    Sejarah Malaysia dah bukti banyak BN punya dasar boleh pakai…. hanya tipu budak-budak sahaja.

    Comment by golden888 | September 6, 2007

  2. 5 tahun cuti tanpa gaji hanya satu janji kosong sahaja.

    Masakini dengan harga barangan keperluan melambung naik, mana satu keluarga yang mampu jika salah satu pasangannya mengambil cuti tanpa gaji, jangan kata sampai 5 tahun sebulan pun sudah cukup? Hidup rakyat semakin susah tetapi pemimpin macam najib pula semakin rakus.

    kalaulah najib rasa 5 tahun cuti tanpa gaji itu praktikal, mari kita sama-sama tunaikan hasrat ini bagi kerajaan bn dengan mengundi parti pembangkang & biar bn sendiri “ambil cuti tanpa gaji” untuk 5 tahun. Biar mereka rasa janji goblok mereka.

    Ambil pendekatan ini dalam kempen pilihanraya nanti, ajak rakyat tunaikan hasrat najib & rasa keadaan 5 tahun tanpa gaji.

    Comment by CKChew | September 16, 2007


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: