Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

Apakah demokrasi sudah mati?

IJOK 28 April 2007. Suatu insiden yang tidak dikehendaki telah berlaku pada pagi hari mengundi di salah satu pusat pembuangan undi – insiden yang mencemaskan – kerana seorang teman petugas KeADILan yang sudah agak berumur telah dipukul kepalanya dengan topi keledar oleh seorang Pemuda Umno ketika beliau bertugas di awal pagi hari mengundi tersebut.

“Sakitnya kepala saya!” terdengar rintihannya. Bila ditanya kenapa dia dipukul, dia menjawab, ”Budak tu kata saya tak boleh berdiri di tempat saya berdiri!” Teman petugas ini rupanya, berdegil dan tidak berganjak dari tempat bertugasnya. Tindakan itu telah membuatkan Pemuda Umno tadi begitu marah dan dengan nafsu amarahnya memukul teman saya tadi sehingga tidak menghiraukan bahawa yang dipukul atau dicederakannya merupakan seorang yang sudah agak berumur. Mujurlah seorang anggota polis telah menyaksikan insiden tersebut dan mengarahkan Pemuda Umno tadi beredar serta tidak mengulangi perbuatannya.

Kejadian pukul-memukul telah menjadi salah satu ciri pilihanraya kecil DUN N11 Ijok. Ia tidak langsung melambangkan proses demokrasi yang sihat, aman dan bebas sebagaimana yang diungkitkan oleh TPM, Najib Tun Razak.

Ijok tidak akan luput dari kenangan. Ia mendewasakan kita dalam parti yang baru berumur lapan tahun kini. Pendewasaan yang pantas dek pelbagai cabaran dan asakan serta ketidakadilan pihak-pihak yang diberi amanah yang seringkali bersekongkol dengan Umno-BN.

Apakah tindakan kita selanjutnya? Ianya satu persoalan yang perlu dijawab segera kerana pilihanraya umum ke-12 akan berlangsung tidak lama lagi, ”bila-bila masa,” menurut Pak Lah.

Ijok adalah sebahagian dari rentetan usaha mereformasi dan mentransformasi politik Malaysia dengan menggunakan sistem dan proses demokrasi yang termaktub didalam perlembagaan. Namun ianya telah dicemari oleh BN yang telah memilih untuk menyelewengkan proses pilihanraya dari setiap sudut demi memastikan kemenangan mereka. Dari SPR kepada pihak Polis, kepada Media, semuanya menjadi alat kepada kerakusan kuasa BN. Dengan menggunakan pendekatan keganasan, ugutan, umpan pengundi dengan wang serta hadiah, sehinggalah membawa pengundi hantu semuanya merupakan modus operandi yang digunakan oleh BN diIjok. Jelas Umno-BN akan berbuat apa saja untuk kekal berkuasa.

Ada yang melabelkan pilihanraya kecil DUN N11 Ijok sebagai pilihanraya paling kotor setakat ini. Rasa terdesak BN telah menatijahkan halangan-halangan ganas yang melibatkan penggunaan kekerasan secara fizikal ke atas calon dan para petugas serta penyokong Parti Keadilan Rakyat. Kes-kes sedemikian berlaku di daerah mengundi Tuan Mee, Sungai Darah dan beberapa daerah mengundi yang lain yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN.

Buku daftar pemilih yang digunakan petugas untuk mengenalpasti pengundi pula diselewengkan oleh SPR sehingga ianya agak mustahil untuk mencari pengundi mengikut alamat yang tertera di dalam daftar pemilih. Alamat pengundi memang sengaja di hilangkan satu kolum, maksudnya ada no rumah tapi tiada nama jalan, atau ada jalan dan taman sahaja tetapi tiada nombor rumah. Lokaliti yang tertera di dalam alamat pemilih juga ada yang tidak wujud, membuatkan usaha berjumpa dengan pengundi untuk merayu undi menjadi haru-biru.

Di samping itu, fitnah-fitnah Umno-BN yang menggunakan segala jentera media massa kerajaan dan perang saraf yang keterlaluan sekali lagi menjadi ciri utama kempen memburuk-burukkan calon KeADILan dan Pimpinan Parti Keadailan Rakyat. Antara fitnah mereka yang didapati daripada para pengundi adalah edaran-edaran seperti berikut:

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

 

 

Bahan-bahan seumpama ini telah diedarkan kepada para pengundi untuk meraih undi bagi calon BN. Betapa kotornya taktik dan permainan politik pilihanraya Umno-BN.

Tindakan berat-sebelah, penyelewengan dan kecuaian (disengajakan?) jentera-jentera pilihanraya SPR, Polis, dan semua lain yang terlibat tentunya memihak kepada Umno-BN dan akan memastikan kemenangan Umno-BN dalam setiap pilihanraya. Maka dengan itu, kita perlu berfikir untuk merubah status itu dengan desakan yang lebih berkesan dan membawa perubahan segera terhadap SPR dan proses demokrasi yang tercemar di Malaysia. Kita tidak mampu lagi untuk menunggu perubahan berlaku dengan kereleaan pihak-pihak yang berkuasa dan natijahnya kita kalah dalam pilihanraya ke-12 nanti dengan sebab-sebab yang sama.

Sekiranya Demokrasi benar-benar telah mati, maka alternatif lain yang ada pada kita adalah demonstrasi jalanan besar-besaran atau pemboikotan pilihanraya umum ke-12.

Pada peringkat ini, kedua-dua alternatif tersebut sedia membayangkan risiko yang amat tinggi kepada Barisan Pembangkang dan rakyat Malaysia. Tetapi mungkinkah ianya sesuatu yang menjadi alternatif viable kerana kedegilan melampau kerajaan yang diterajui oleh Umno-BN? Kedegilan, kesombongan dan kerakusan ingin selamanya berkuasa Umno-BN telah menindas, menzalimi dan menghalalkan segala cara sehingga menghenyak lawan secara tidak sah. Adakah mungkin situasi sedemikian perlu ditukar segera dan bukan pula dengan cara dan proses demokrasi (yang telah begitu acapkali dan lama kita laksanakan)?. Mungkinkah suatu kaedah yang lebih hebat (forceful) dan efektif perlu dilaksanakan untuk menjatuhkan BN dan seterusnya mengembalikan Demokrasi?

REFORMASI!

May 3, 2007 - Posted by | Politics

3 Comments »

  1. […] Apakah demokrasi sudah mati? […]

    Pingback by Malaysiakita | May 3, 2007

  2. Salam buat puan.
    Sedarlah bahawa kejayaan puan dalam kerjaya dan pendidikan dari hasil perjuangan pemimpin melayu terdahulu iaitu UMNO. DEB yg menjadi nadi org melayu telah diragut oleh org melayu seperti puan. Perjuangan pada dasarnya menegakkan keadilan telah terpesong jauh. Keadilan utk DSAI dan kroninya ,semasa dlm UMNO mereka penyanggak parti. Kini hak org melayu pula hendak dibahagi sama rata. Kami akan kembali kepangkuan UMNO sebuah parti yg benar2 memperjuangkan hak org melayu. Kami tidak mahu menjadi pengkhianat bangsa. Lihat saja apa dah jadi d selangor.

    Comment by PKR JE | June 25, 2008

  3. Ramai dikalangan pelajar Melayu lewat 1980an dan selepasnya meraih kebaikan dari DEB. Bila pulang ke Malaysia sebahgaian mereka menjadi penjana pembangunan dan semakin lama menjadi berpengalaman dan menjadi para pemikir dalam bidang masing-masing dengan sikap independence yang dikehendaki dalam mengurus, menilai dan menjadi pembuat keptusan dalam bidang-bidang kepakaran masing-masing. Sudah menjadi kewajipan mana-mana kerajaan untuk memberikan peluang-peluang pendidikan yang terbaik kepada rakyatnya.

    Saya berpendapat bahawa untuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu, seseorang itu tidak semestinya orang Melayu. Dan untuk memperjuangkan hak orang Melayu, tidak semestinya juga mesti berada dalam umno. Seolah-olah umno saja yg memperjuangkan hak Melayu.

    Comment by Rozaini | June 25, 2008


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: