Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

WANITA SEDIA LAKSANA 30 %

 

“Saya tidak boleh bayangkan hidup saya sekiranya wanita tidak wujud!……..Saya dilahirkan dan dibesarkan oleh ibu saya, seorang wanita yang amat-amat saya hormati dan saya kasihi. Saya turut diasuh oleh kakak dan emak saudara saya, juga wanita. Saya punyai adik-adik perempuan,teman bermain sewaktu kecil yang telah menceriakan hidup saya. Kemudian saya berkahwin dengan isteri saya yang merupakan seorang wanita yang amat saya cintai…. Wanita memainkan peranan yang amat penting di dalam hidup saya. Bagaimanakah hidup saya dan hidup kita semua tanpa wanita ?……” Begitulah kata-kata seorang aktivis tionghua di dalam membalas kata-kata dan hujah seorang aktivis yang lain berkenaan usul 30% penyertaan suara wanita di dalam proses membuat keputusan yang di bawa oleh WANITA KeADILan.

 

Allah SWT menjadikan manusia ini hidup berpasang-pasangan di mana lebih kurang separuh dari penduduk dunia ialah perempuan. Akan tetapi, kebanyakan dasar berkenaan masyarakat dan negara yang turut dianggotai oleh wanita biasanya tidak melibatkan pandangan dan suara wanita. Oleh yang demikian, wujud suasana di mana sudut pandangan atau perspektif wanita tidak berapa diambilkira dalam menentukan dasar dan dalam proses membuat keputusan berkenaan hal-hal yang wanita tidak terkecuali. Tentu sekali keadaan ini akan mengakibatkan ketidaksempurnaan dan kepincangan yang ketara dalam masyarakat.

 

Kini, saban hari kita disogokkan dengan berita-berita rasuah, gejala sosial yang melibatkan remaja dan anak-anak, kesempitan hidup hasil dari kenaikan kos sara hidup harian, keganasan terhadap golongan wanita dan mereka yang lemah, dan seribu satu macam kejadian yang mengerikan, merobek hati dan jiwa serta menghambat pemikiran yang waras. Senario yang dikatakan ini telah mengesani kehidupan wanita dan keluarga-keluarga mereka. Penyelesaian gejala-gejala tersebut pula menuntut suatu kesungguhan yang pastinya mesti melibatkan wanita.

 

Kaum wanita, samada secara langsung dan tidak langsung telah dan akan terus memainkan peranan yang amat besar dalam memastikan keharmonian masyarakat. Menerusi tugasan dan interaksi mereka dalam unit-unit keluarga, sumbangan mereka di tempat kerja, dan dalam organisasi yang mereka ceburi, wanita sentiasa memberikan khidmat yang terbaik tanpa jemu dan tanpa ada kepentingan diri. Namun wanita terus dihambat dengan sifat selesa duduk di belakang dan berasa senang membiarkan orang lain terutamanya kaum lelaki untuk membuat keputusan berkenaan hidup mereka.

 

Memang tidak dinafikan ‘mindset’ (aliran pemikiran) ini adalah merupakan hasil dari kehidupan di dalam keluarga yang berpaksi kepada sistem patriaki. Islam juga meletakkan ketetapan demikian demi menjaga keutuhan keluarga dan demi kemaslahatan ummah. Namun apa yang tidak dapat dibezakan oleh ramai kaum wanita ialah bahawa peranan mereka di dalam keluarga tidak sama dengan peranan mereka di dalam masyarakat. Wanita juga mesti faham bahawa ketetapan Al Quran terhadap peranan lelaki yang superior terhadap kaum wanitanya dari segi membuat keputusan muktamad dalam keluarga tidak pula merangkumi kepada peranan lelaki dan wanita dalam amalan berorganisasi dan dalam melaksanakan proses demokrasi. Di luar lingkungan (domain) keluarga, status wanita dan lelaki adalah sama, di mana Allah hanya melihat kepada taqwa mereka. Manakala di dalam organisasi pula peranan individu berpaksi kepada jawatan dan tanggungjawab yang mereka pikul. Apabila lebih ramai lelaki dan wanita memahami hakikat ini, maka akan lebih senanglah kita semua meneruskan tugasan masing-masing.

 

Cara wanita dan lelaki berfikir tidak sama dan dari sudut psikologi pula, telah membuktikan bahawa apabila wanita membuat keputusan, pertimbangan mereka adalah berasaskan kepada kebaikan keluarga dan masyarakat keseluruhannya, manakala kaum lelaki secara umumnya lebih berpaksi kepada pembangunan dan keuntungan. Maka amatlah penting untuk melibatkan suara dan perspektif wanita dalam proses membuat ketetapan dan keputusan supaya kita dapat membuat ketetapan yang seimbang, dengan mengambil kira kepentingan untuk semua.

 

Deklarasi Beijing 1995 telah meletakkan 30% sebagai peratusan minima suara wanita untuk memastikan keseimbangan ini terlaksana. Parti Keadilan Rakyat pula di dalam Persidangan Agung Tahun 2000 telah pun mempersetujui usul ini. Namun sehingga kini kita masih ketinggalan di dalam melibatkan suara wanita di semua peringkat. Akan tetapi, telah kelihatan kini, selepas lapan tahun Wanita KeADILan melalui proses pembinaan ahli dan peneguhan misi serta prinsip perjuangan di kalangan pimpinan akar umbi, pengukuhan sayap wanita di semua peringkat dalam parti. Malah wanita sudah mampu untuk meletakkan wakil-wakil untuk berkhidmat di luar wadah parti dalam NGO dan sebagainya.

 

Kini Sayap Wanita sudah bersedia untuk mengisi kekosongan 30% yang telah di persetujui dalam resolusi parti sejak tahun 2000. Terjemahannya ialah 30% perwakilan Kongres disarankan adalah dari kalangan wanita. Ahli MPT yang akan dipilih di Kongres nanti juga seharusnya 30% dari kalangan wanita. Wanita juga turut menawarkan calon Naib Presiden dalam langkah mengisi 30% ini. Dengan suara wanita yang lebih mantap, yakinlah agenda perubahan yang dibawa oleh parti akan dapat menawarkan yang terbaik untuk warga Malaysia di mana separuh dari penduduknya merupakan ibu-ibu yang kita kasihi, yang telah melahirkan dan membelai kita dengan penuh kasih sayang hingga kita dewasa, kakak dan adik yang menyayangi kita, serta isteri dan anak-anak gadis kita yang menjadi penyeri hidup kita. Tentu sekali kita tidak akan menolak SUARA 30% WANITA DALAM PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN dalam parti dan seterusnya di Parlimen yang akan menjadikan kehidupan mereka (kaum wanita) lebih sempurna dan bahagia. Marilah kita saksikan masa depan yang lebih baik dengan penglibatan wanita yang lebih mantap.

March 26, 2007 - Posted by | Politics

1 Comment »

  1. DENGAN HORMAT YANG TELAH KAMIDAMPAIKAN

    Comment by hira86 | September 29, 2007


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: