Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

PERUTUSAN HARI WANITA SEDUNIA 2007- Satu Tekad dan Hasrat Untuk Dunia Tanpa Keganasan

7hb Mac 2007

Hampir dua dekad, usaha-usaha untuk meletakkan kepentingan kepada isu keganasan terhadap wanita telah diterajui oleh beberapa organisasi wanita di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Persidangan mengenai Hak-hak Asasi di Vienna, 1992, Persidangan Antarabangsa mengenai Populasi dan Pembangunan di Kaherah, 1994 dan kemudian Persidangan ke-4 mengenai Wanita di Beijing 1995 telah mengiktiraf hak-hak wanita sebagai hak-hak asasi dan telah meletakkan isu keganasan terhadap wanita sebagai salah satu agenda dunia yang penting.

Tema pilihan Hari Wanita Sedunia 2007 oleh Bangsa-Bangsa Bersatu memaparkan isu yang kritikal yang sedang melanda hampir ke semua negara-negara di dunia ini. Tema: Menghentikan Wewenangan dalam Melakukan Keganasan Terhadap Wanita dan Gadis menggambarkan keadaan dunia ketika ini – yang tidak selamat bagi wanita dan gadis. Kenyataan tersebut mungkin dilihat sebagai keterlaluan tetapi statistik global memberi gambaran yang sama dengan persepsi tersebut.

Di Amerka Syarikat, hanya 55% pelajar merasa selamat ketika berada di sekolah-sekolah. Insiden keganasan terhadap wanita dan gadis, seperti rogol, keganasan rumahtangga, keganasan seksual, perdagangan wanita dan gadis, penderaan psikologi, buruh paksaan adalah sebahagian dari bentuk-bentuk keganasan terhadap wanita dan gadis, yang masih belum berkurangan. Bahkan keganasan terus berlaku dan ada insiden keganasan yang berbentuk eksploitasi yang memberi hasil lumayan kepada para penjenayah.

Di Malaysia, 50% daripada wanita yang berkahwin pernah mengalami keganasan rumahtangga dalam perkahwinan mereka. Purata enam wanita atau gadis dirogol setiap hari di Malaysia. Manakala hanya 25% dari kes-kes rogol sahaja dilaporkan. Itu bermakna bahawa bilangan kejadian rogol sebenarnya adalah lebih tinggi. Kewujudan rasa wewenangan tanpa sekatan adalah penyebab utama berlakunya keganasan terhadap wanita dan gadis.

Keganasan memberi implikasi yang besar terhadap wanita dan gadis, anak-anak mereka, dan masyarakat umumnya. Wanita yang telah menghadapi keganasan mengalami pelbagai masalah kesihatan, keupayaan mencari nafkah kehidupan dan penglibatan dalam kegiatan masyarakat. Anak-anak mereka akan menghadapi risiko masalah berbagai penyakit juga, prestasi pembelajaran yang lemah, dan tingkahlaku yang bermasalah. Keganasan terhadap wanita melemahkan kedudukan mereka, keluarga mereka, masyarakat dan negara. Ia memberi kesan negatif kepada produktiviti, mengakibatkan aliran sumber-sumber negara dialihkan dari sektor perkhidmatan dan para majikan, serta mengganggu usaha-usaha pembentukan modal insan. Kajian-kajian yang telah dilaksanakan kesemuanya menunjukkan bahawa keganasan terhadap wanita dan gadis mempunyai kesan ekonomi yang serius. Sebuah laporan penting oleh Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu menyebut bahawa keganasan terhadap wanita merupakan pencabulan hak asasi manusia dan seterusnya menjadi penghalang kepada kesaksamaan gender.

Setiap kerajaan negara-negara di dunia ini memilikil tanggungjawab dan amanah dalam membanteras keganasan terhadap wanita, sama ada yang telah dilakukan oleh kakitangan kerajaan atau bukan kerajaan. Kerajaan dalam setiap Negara adalah bertanggungjawab kepada golongan wanita, rakyat mereka dan kepada masyarakat antarabangsa. Setiap kerajaan juga adalah diamanahkan untuk mencegah keganasan terhadap wanita, menyiasat kes-kes keganasan yang berlaku dan mendakwa serta menghukum para penjenayah yang terlibat, disamping memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa keganasan.

Apabila pihak kerajaan gagal membawa penjenayah keganasan terhadap wanita dan gadis ke muka pengadilan, ia menggalakkan lebih banyak keganasan berlaku dan memberi isyarat bahawa keganasan oleh lelaki terhadap wanita dan gadis adalah sesuatu yang biasa dan normal. Kesan wewenangan untuk melakukan keganasan tersebut bukan hanya menafikan keadilan bagi individu dan mangsa-mangsa keganasan, tetapi juga meneguhkan ketidakadilan yang terkesan terhadap wanita-wanita dan para gadis lain secara keseluruhan.

Dunia yang bebas dari sebarang bentuk keganasan bukanlah semata-mata impian. Ia menjadi prasyarat kepada tamadun manusia yang hebat dan gemilang.

Saudari rakan seperjuangan, marilah kita bersama-sama sekata dan sepakat dalam Menghentikan Wewenangan dalam Melakukan Keganasan terhadap Wanita dan Gadis. Semoga hari ini membawa kita lebih dekat kepada tujuan perjuangan untuk menyaksikan dunia yang bebas dari keganasan.

Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia!

HJH FUZIAH SALLEH

KETUA WANITA

PARTI KEADILAN RAKYAT

March 7, 2007 - Posted by | Politics

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: