Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

PANTASNYA MERENCANA PELAN INDUK RM9 BILION!

Berita dari Utusan Malaysia (di bawah) mengukuhkan lagi betapa lalainya kerajaan Umno-BN dalam menjaga keselamatan dan nyawa rakyat. Dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Keizrul Abdullah, bahawa Jabatan beliau hanya memerlukan masa yang singkat saja (beberapa bulan) untuk merencana pelan induk pencegahan banjir untuk kawasan-kawasan yang dikenal pasti di Johor, menimbulkan tanda tanya, kenapa kajian, penyelidikan dan usaha-usaha pencegahan itu tidak difikirkan lebih awal? Kenapa baru sekarang di mana Malaysia sudah menjangkau hampir 50 tahun merdeka?

Budaya menunggu bencana berlaku dan meragut nyawa serta harta-benda rakyat tidak wajar menjadi anutan sesebuah kerajaan yang prihatin terhadap prioriti rakyat. Ia memberi maksud tiada kesungguhan dan komitmen hakiki selain hanya ucapan dibibir dan tulisan-tulisan di atas kertas dan bahan elektronik. Ahli-ahli politik sedemikianlah yang membawa imej sangat negatif terhadap politik dan ahli-ahli politk. Disebabkan mereka ini, imej yang buruk juga terpalit pada yang tidak berkenaan.

Perbelanjaan RMK9 sewajarnya dikaji semula, dalam konteks keperluan rakyat yang mendesak, walaupun menggamit keresahan ahli-ahli politik dan sokongan mereka yang mungkin kehilangan pendapatan dari pengkajian semula perbelanjaan tersebut. Kan, Malaysia Boleh!. Masa seperti inilah lebih-lebih lagi Malaysia Boleh!

Dalam pada itu, terdengar rintihan-rintihan pakar-pakar dan para akademik di unversiti-universiti tempatan yang mendapati bahawa kajian dan cadangan yang mereka kemukakan kepada kerajaan tidak diambil perhatian atau dihiraukan. Berlaku pemisahan di antara golongan bijak pandai dan penggiat dalam pelbagai bidang professional diketepikan sekiranya cadangan-cadangan mereka sebenarnya 100% menguntungkan rakyat. Perkara ini perlu diteliti dan diselidiki. Hal seumpama itu juga berlaku dalam GLC dan sektor swasta di mana kerajaan punya pengaruh menentukan halatuju organisasi yang terbabit.

Ada juga laporan yang mengatakan bahawa segelintir ahli-ahli politik pemerintah mencampuri urusan badan-badan korporat yang ingin menyumbang kepada mangsa banjir dengan “arahan” supaya menyerahkan wang atau sumbangan kepada ketua-ketua bahagian di kawasan yang dilanda banjir atau meyerahkan kepada tabung dana yang dipilih oleh kerajaan.

———————————————————————————————————————————

Kos tebatan banjir di Johor RM9 bilion

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Kerajaan memerlukan peruntukan di antara RM3.6 bilion dan RM9 bilion untuk melaksanakan projek tebatan banjir di Johor bagi mengurangkan kesan buruk akibat bencana tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Keizrul Abdullah berkata, anggaran tersebut berdasarkan kajian pihaknya selepas membahagikan Johor kepada enam kawasan yang setiap satu memerlukan peruntukan sejumlah RM600 juta hingga RM1.5 bilion.

‘‘Kita memerlukan masa kira-kira tiga bulan lagi bagi menyiapkan pelan induk pencegahan banjir untuk enam kawasan yang dikenal pasti iaitu Muar, Batu Pahat, Mersing, Kluang, Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Sungai Johor,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Peta Risiko Banjir (PRB) Rantau Asia Timur dan Asia Tenggara oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S. Sothinathan di sini hari ini.

Gelombang pertama banjir besar yang melanda Johor pada 19 Disember lalu menyebabkan 148,000 orang di tempatkan di pusat pemindahan, manakala 134,000 penduduk terpaksa dipindahkan ketika gelombang kedua bencana tersebut menyusul tiga minggu kemudian.

Menurut Keizrul, projek tebatan terbabit akan melibatkan pembinaan empangan baru, meningkatkan ketinggian tiga empangan sedia ada, memperluas dan mendalamkan sungai, mewujudkan benteng dan membina stesen pam bagi mengalirkan air ke laut.

‘‘Tumpuan juga akan diberikan untuk membina sistem lencongan banjir di Batu Pahat yang terletak di kawasan tanah rata bagi memastikan tidak berulang kejadian air bertakung terlalu lama,” ujarnya.

Beliau berkata, kos tinggi yang perlu dikeluarkan bagi melaksanakan tebatan banjir itu adalah menguntungkan pada jangka panjang memandangkan kerajaan menanggung kerugian kira-kira RM1.5 bilion ketika bencana itu melanda Johor baru-baru ini.

‘‘Ini tidak termasuk perbelanjaan pasukan penyelamat bagi memindahkan penduduk, kehilangan nyawa dan kerugian yang dialami oleh para peniaga.

‘‘Anda boleh bayangkan kos yang bakal ditanggung jika ia berlaku setiap tahun,” ujarnya.

Ditanya adakah kerajaan dapat memberi jaminan banjir di Johor tidak berulang setelah projek tebatan tersebut siap, Keizrul mengakui ia hanya dapat mengurangkan kesan banjir dan bukannya mencegah sepenuhnya bencana itu.

‘‘Adalah mustahil untuk memastikan tidak berlaku banjir kerana ia hanya boleh dibuat sekiranya kita sanggup bertindak drastik seperti membina 10 lorong di Lebuh Raya Utara-Selatan atau memperluaskan kelebaran sungai sehingga meliputi separuh daripada Lembah Klang,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_06.htm

February 9, 2007 - Posted by | Politics

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: