Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL-FITR 1429H

Pembaca Budiman,

Assalamualaikum wrt wbt/Salam Sejahtera

Eidul-fitr menandakan akhirnya Ramadhan.

Walaupun pemergian Ramadhan diiringi kesedihan, Eidulfitr menandakan kemenangan peribadi Muslim yang telah mengekang kehendak dan keinginan masing-masing, Ianya juga melambangkan pembersihan jiwa dan pembaharuannya. Keikhlasan amalan di bulan Ramadhan mampu pula memotivasi aktivisme pembaharuan (reformasi) dalam gerakan pembaharuan masyarakat Malaysia agar mendokong seutuhnya nilai keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, Pencipta sekelian manusia, makhluk yang ghaib dan sekelian alam semesta.

Firman Allah swt.:

Wahai orang-orang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha teliti apa yang kamu kerjakan

Al-Maidah:8

Neraca keadilan dalam sesebuah masyarakat majmuk di Malaysia menuntut rakyatnya supaya peka dan memahami sensitiviti masyarakat yang berbilang kaum. Dalam pada itu, rakyat juga dituntut untuk mengamalkan pengekangan (restraint) dari tindakan yang boleh menerbitkan sebarang rasa kebimbangan dan tidak puas hati di kalangan ras.

Neraca keadilan dalam hubungan sesama insan, tanpa mengira ras, bukanlah suatu seni yang kompleks. Ia cuma perlu diamalkan dengan melihat insan lain sebagai salah seorang yang disayanginya. Anak orang lain adalah anak kita jua, Ayah orang lain adalah ayah kita jua dan begitulah seterusnya. Maka Melayu yang miskin menjadi tanggungjawab Cina/India/Kadazan/dll. bangsa untuk membantu mereka. Begitu juga Cina yang miskin menjadi tanggungjawab Melayu /India/Kadazan/dll. bangsa untuk membantu mereka.

Dasar neraca keadilan yang diunjurkan Islam menghala kepada suatu keadaan masyarakat di mana dominasi suatu ras/kaum ke atas yang lainnya terhapus dan dihapuskan sama sekali. Tentu sekali jika demikian, sebarang ugutan, penindasan, dan kezaliman sesama kaum juga terhapus dan dihapuskan sama sekali. Hanya konsep dan pelaksanaan integrasi kaum dalam erti kata yang sebenar akan mampu untuk menterjemahkan hasrat ini.

Dalam merayakan Eidulfitr, kita mengingati Raja Petra dan seluruh warga ISA di Kemunting yang telah ditahan tanpa sebab yang wajar. ISA telah digunakan untuk memisahkan anak daripada bapa, dan isteri dari kekasihnya, tanpa diberi peluang membela diri, dan ianya sungguh zalim.Photobucket

Kes Teresa Kok masih berlarutan dengan hasutan dan sentimen ras atau kaum yang diterbitkan oleh mereka yang mendokong pemikiran perkauman. Itu merupakan sesuatu yang tidak adil kepada Teresa yang telah terbukti beliau tidak bersalah setelah disoalsiasat di bawah ISA dan dilepaskan tanpa syarat seminggu kemudian.

Negara dan masyarakat yang adil tidak menggunakan ugutan dan kekerasan ke atas orang lain, khususnya terhadap mereka yang lemah – menggunakan Molotov Cocktail yang boleh mencederakan orang lain adalah suatu perbuatan di luar batasan undang-undang dan pemikiran waras.

Tuduhan mengenai penglibatan beliau mengenai usul pemberhentian azan dari sebuah masjid di Selangor telah juga dinafikan oleh pihak pentadbiran masjid berkenaan, dengan dikukuhkan oleh badan-badan NGO lain, bahwa Teresa Kok tidak pernah terlibat dalam gerakan mengusulkan perkara yang disebutkan.

Negara kini juga tidak terkecuali dari dilanda kemelesetan ekonomi yang menjadikan rakyat sukar untuk mencukupkan dengan selesa kos kehidupan seharian mereka. Keadaan itu memaksa rakyat mengalih kepada pemakanan yang kurang kualiti, aktiviti sosial dan akademik yang berkurangan serta aspek-aspek yang lain yang menjadikan kualiti hidup Rakyat Malaysia kian susut. Keadaan begini tidak seharusnya berlaku. Negara Malaysia kaya dengan pelbagai khazanah dan sumber asli yang boleh membantu rakyat mendapatkan berbagai keperluan dan perkhidmatan yang berkualiti dengan kos minima.

Di samping itu, kadar jenayah juga meningkat, menjadikan rakyat berasa kurang selamat dalam kawasan kediaman, diperjalanan dan tempat kerja masing-masing.

Kesemua permasalahan rakyat diatas menuntut komitmen kesemua pihak pemimpin, samada pemimpin BN mahupun pemimpin Pakatan Rakyat, supaya berganding bahu demi menyelesaikannya. Sempena Fajar Syawal yang akan menjelang, serta juga menghayati prinsip-prinsip keadilan yang disebut di dalam Al Quran di atas, saya berdoa agar pemimpin-pemimpin di Malaysia yang kita cintai ini dapat menjangkau melepasi batas-batas politik kepartaian dan kemudiannya tampil untuk berganding bahu, duduk semeja, demi memikirkan permasalahan rakyat yang tidak berkesudahan. Sekiranya pemimpin Amerika Syarikat yang terdiri dari Republikan dan Demokrat boleh berbuat demikian, mengapa kita tidak? Marilah sama-sama kita mengambil semangat prinsip keadilan sebenar dan cuba merealisasikan hasrat ini demi rakyat.

Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitr kepada sekelian warga Malaysia, khususnya yang berada di Kuantan.

Mohon Maaf Zahir dan Batin.

Semoga diterima segala amalan soleh di Bulan Ramadhan dan sdr/sdri semua senantiasa memacu perubahan kearah kebaikan di mana saja anda berada.

Hjh Fuziah Salleh

Ahli Parlimen Kuantan

29 Ramadhan 1429H

September 29, 2008 Posted by | Politics | 3 Comments