Kenyataan Media 4 Jun 2008
KAJIAN LALU LINTAS MPK JEJAS PERNIAGAAN
& KESESAKAN LALU LINTAS BERPUNCA DARI KEDUDUKAN PASAR RAYA BESAR DI TENGAH BANDAR
Kuantan, 4 Jun 2008: Pusat Khidmat KeADILan Kuantan menerima terlalu banyak aduan berkenaan penutupan jalan yang dilaksanakan oleh MPK, walaupun hanya selepas dua hari MPK menjalankan kajian lalu lintas tersebut. Antara aduan paling ketara ialah dari kalangan peniaga yang mengadu bahawa perniagaan mereka telah terjejas sebanyak 50% disebabkan penutupan jalan tersebut. Aduan yang kedua banyak ialah dari kalangan orang ramai yang mengadu bahawa waktu mereka di perjalanan yang biasanya mengambil masa 5 minit sekarang bertambah kepada 30 minit, disebabkan oleh keadaan jalan ditutup. Kalangan pengadu juga mengunjurkan bahawa keadaan akan bertambah teruk apabila sesi sekolah bermula minggu depan.
MPK menjelaskan bahawa kajian ini akan mengambil masa 1 bulan. Menurut MPK kajian ini perlu disebabkan keadaan kesesakan lalu lintas yang semakin mendesak kebelakangan ini.
Saya ingin menegaskan bahawa MPK harus bersikap prihatin rakyat dan meletakkan kepentingan peniaga kecil dan keselesaan orang ramai sebagai keutamaan. Kualiti hidup orang ramai di Kuantan jangan sekali-kali dijadikan gadaian atas nama pembangunan.
Pada hemat saya, kesesakan lalu lintas di Kuantan di waktu puncak (peak hours) dan di hujung minggu adalah berpunca dari kedudukan banyaknya pasar-pasar raya besar yang berada di persekitaran tengah bandar.(ditambah dengan lagi satu pasaraya baru-baru ini). ’Hypermarket‘ atau Pasar Raya Besar seharusnya ditempatkan di kawasan sisir bandar atau dekat dengan ‘bypass‘. Keadaan ini akan memudahkan akses pembeli ke Pasar Raya tersebut serta di masa yang sama tidak menganggu gugat peniaga-peniaga kecil yang lain serta orang ramai yang berurusan di dalam bandar. Malah konsep hypermarket memang seharusnya di kawasan sisir bandar.
Sudah tiba masanya pihak MPK membuktikan bahawa ia mempunyai kredibiliti dan tulang belakang tanpa dikawal oleh tangan-tangan tersembunyi. MPK mesti membuat keputusan yang terbaik untuk orang ramai dengan membuat pendirian tegas terhadap mengalihkan kewujudan Pasar Raya Besar di tengah bandar tanpa mengira bulu. Kepentingan orang-orang besar sekiranya ada, haruslah dapat ditangani dan diuruskan secara profesional.
Rakyat menantikan MPK untuk membuat keputusan berani ini demi kepentingan orang ramai. Cukuplah dengan cara pengurusan yang lama dan bermulalah untuk menyelesaikan masalah dari puncanya. ‘address the problems at it’s roots‘!
Hjh Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan kenyataan media di atas, sila hubungi
Puan Rozaini binti Mohd Rosli, Koordinator Media, tel.: 019-8502757
email: rozainiebbm@yahoo com

