Fuziah Salleh

Mendamba Politik Baru

Kemusnahan kehidupan wanita yang disengajakan

KENYATAAN MEDIA: 18 OKTOBER 2006
Kemusnahan kehidupan wanita yang disengajakan – Kementerian Wanita perlu bertindak

Kemusnahan kehidupan wanita yang disengajakan – seperti terpamer dalam insiden keganasan terhadap wanita dan perdagangan wanita di Malaysia

Insiden keganasan terhadap wanita mendedahkan ketidakmampuan agensi-agensi Kerajaan Barisan Nasional, yang sepatutnya melindungi warganegara ini, khususnya wanita. Dengan kadar jenayah yang kian meningkat, kenaikan sebanyak 11.3% bagi tujuh bulan pertama berbanding tahun lepas, memberi gambaran palsu tentang pembangunan, apabila warganya, terutama wanita tidak rasa selamat berjalan mana-mana jua di negara ini. Keganasan rumahtangga, rogol dan penderaan seksual terus berlaku di bawah pentadbiran Barisan Nasional, yang gagal menangani permasalahan sosial secara holistik. Undang-undang yang sedia ada kurang melindungi wanita dari segi penderaan emosi dan psikologi. Kira-kira tujuh puluh peratus pusat membeli-belah di Malaysia tidak selamat bagi wanita dan terdedah kepada peragut, didera dan diserang secara seksual, rogol, malah dibunuh.

Dalam dimensi lain pula, perdagangan manusia dilaporkan berlaku dalam dan seberang sempadan yang telah menghidupkan industri seks. Perkara tersebut telah membawa bersamanya berbagai masalah sosial, kesihatan dan masalah nasional. Perdagangan wanita telah membuatkan wanita seperti barangan dan objek nafsu, yang merupakan manifestasi perhambaan zaman moden. Mereka yang mempromosi perdagangan tersebut tidak disangkal lagi pemusnah maruah dan tamadun manusia. Mereka yang memegang kuasa serta tidak berbuat apa-apa adalah dari golongan yang sama.

Sistem yang dijana telah gagal melindungi wanita di Malaysia secara keseluruhan. Statistik dan senario tersebut menunjukkan sistem yang sengaja tidak peka dan lemahnya penguatkuasaan ke atas langkah-langkah yang patut diambil, mengakibatkan kehilangan nyawa ramai wanita.

Wanita Keadilan melihat ini sebagai isu-isu serius yang menuntut tindakan serta-merta oleh kerajaan, khususnya Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat. Dua resolusi (disertakan bersama) dari Kongres Ketiga Wanita Parti Keadilan Rakyat pada 1 September 2006, telah mendesak tindakan segera oleh kerajaan.

Fuziah Salleh
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat

USUL ANTI PERDAGANGAN WANITA

Kongres Nasional Wanita yang bersidang pada 1hb September 2006
Menyedari dan Menginsafi bahawa

Perdagangan wanita merupakan sektor perdagangan yang kini berkembang pesat, dikendalikan oleh jaringan global yang tersusun serta bersindiket, dengan menggunakan kelengkapan teknologi yang canggih serta dilindungi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Perdagangan wanita juga dijadikan sebagai tarikan pelancong luar negara, yang mana menjadikan ianya satu perniagaan yang lumayan untuk diceburi. Menurut satu kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula, perniagaan haram ini mampu meraih keuntungan tinggi dengan anggaran keuntungan mencecah berbilion dollar. Aktiviti perdagangan wanita ini juga semakin berleluasa disebabkan oleh nafsu materialistik, nafsu wang dan nafsu seks yang mengatasi kewarasan akal manusia, di mana kebiasaannya wanita-wanita yang diperdagangkan dipaksa atau ditipu sehingga menjadi pekerja seks. Satu kajian telah mencatatkan bahawa terkini hampir 300,000 wanita melibatkan diri dalam pelacuran di Malaysia. Sebuah kelab yang menjalankan aktiviti tidak halal ini pula mampu mendapat hasil sehingga sebanyak hampir RM500,000 semalam.

Rakyat perlu diperjelaskan tentang keseriusan isu perdagangan wanita dengan segala implikasinya. Mereka yang bertanggungjawab memakmurkan perdagangan ini pula mesti dibawa ke muka pengadilan. Walaubagaimana pun penguatkuasaan untuk membanteras gejala ini pula tidak efektif seperti yang diharapkan disebabkan oleh amalan rasuah yang menular di kalangan mereka yang diamanahkan untuk membasmi gejala perdagangan ini.

Parti Keadilan Rakyat mempercayai bahawa transformasi sosial masyarakat negara ini merupakan asas penting kepada pembasmian gejala sosial, yang merangkumi isu perdagangan wanita. Transformasi itu membawa implikasi bahawa masyarakat akan memiliki minda dan nurani yang mementingkan kesejahteraan manusia, khususnya wanita, mengatasi kepentingan keuntungan wang dan pemuasan nafsu bebas dan rambang. Oleh itu, Parti Keadilan Rakyat akan senantiasa membangun dan bekerjasama dengan berbagai kumpulan, persatuan, badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain persatuan yang memperjuangangkan pembasmian perdagangan yang tidak halal ini.

Kongres Nasional Wanita yang bersidang pada 1hb September 2006
Menegaskan bahawa

• Perdagangan wanita akan memberi kesan yang sangat membimbangkan dari sudut kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Ia membawa risiko penyakit jantina dan HIV/AIDS yang boleh merebak dengan begitu pantas di kalangan masyarakat. Tentu sekali keadaan ini membawa kesan negatif kepada keharmonian kehidupan individu, keluarga amnya dan seterusnya kepada seluruh masyarakat Malaysia. Hakikatnya keadaan ini membawa padah yang buruk terhadap pembinaan generasi masa depan negara.

• Ketiadaan undang-undang yang boleh mendakwa mereka yang melakukan jenayah ini menambahkan lagi masalah di dalam membenteras gejala ini, di mana undang-undang yang termaktub di Malaysia tidak mendiskriminasikan di antara pendatang haram (mereka yang masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah) dan mereka yang terpedaya atau dipaksa datang untuk memakmurkan industri yang berkaitan.

• Amalan rasuah yang berleluasa di kalangan ahli penguatkuasa merupakan faktor penting di dalam memakmurkan lagi aktiviti perdagangan wanita dan membenteras amalan rasuah pula merupakan satu agenda yang wajib dilakukan demi membebaskan wanita dan negara dari belenggu masalah ini.

• Wanita-wanita yang menjadi mangsa dan terjebak ke kancah perdagangan ini perlu diberi perlindungan dan bantuan serta kaunseling yang sewajarnya.

Dengan ini, Kongres Wanita Parti Keadilan Rakyat yang bersidang pada 1 September 2006
MENUNTUT DENGAN TEGAS supaya Kerajaan:

1. Mewujudkan dengan segera satu Akta Anti-Perdagangan Manusia
2. Menunjukkan kehendak politik (political will) serta komitmen di dalam usaha membasmi rasuah dan korupsi yang dikhuatiri telah membantu memakmurkan perdagangan wanita dengan cara memastikan bahawa BPR dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.
3. Menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas (Special Task Force) bagi tujuan mengkaji dasar dan program yang akan menggerakkan usaha preventif, pemulihan dan seterusnya membenteras sehabis-habisnya aktiviti perdagangan wanita ini.


KEGANASAN TERHADAP WANITA

Menyedari bahawa:

Saban hari keganasan terhadap wanita berlaku. Insiden keganasan rumahtangga, rogol, rogol-bunuh, jenayah ragut, dan gangguan seksual (sexual harassment) terus berlaku pada kadar yang membimbangkan rakyat, khususnya golongan wanita. Walaupun ada Akta-Akta yang melindungi wanita dari keganasan, ia masih tidak mencukupi bagi menjadikan wanita berasa selamat dalam norma kehidupan seharian masyarakat Malaysia.

i) Dalam insiden keganasan rumahtangga, ramai yang masih tersiksa secara senyap. Lima puluh peratus (50%) dari wanita yang berkahwin mengalami keganasan dalam rumahtangga. Gejala ini pula melewati batas status, bangsa,dan agama.

ii) Manakala kesemua kes mangsa rogol-bunuh pula melibatkan wanita. Purata wanita dirogol di Malaysia setiap hari ialah hampir enam orang. Akan tetapi hanya kira-kira 25% kes rogol sahaja dilaporkan. Itu bermakna jumlah sebenar bilangan kes rogol adalah lebih tinggi.

iii) Ancaman terhadap wanita yang tidak banyak diperkatakan pula ialah gangguan seksual yang banyak berlaku, khususnya di tempat-tempat kerja. Gangguan seksual melibatkan bukan saja gangguan fizikal, malah gangguan ‘verbal’ dan gangguan emosi (seperti contohnya seorang wanita ditunjukkan gambar lucah) juga boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual. Kini empat puluh peratus (40%) daripada sumber tenaga manusia di sektor pekerjaan merupakan tenaga kerja wanita dan banyak insiden telah dirakam berkenaan dengan gangguan seksual terhadap wanita terutama oleh majikan ataupun orang atasan mereka sendiri. Negara kita pada ketika ini tiada undang-undang khusus untuk menghalang gangguan seksual ini dari berlaku. Apa yang wujud hanyalah panduan etika (ethical guideline) untuk diguna pakai oleh pihak majikan.


Dengan ini, Kongres Nasional Wanita Parti Keadilan Rakyat yang bersidang pada 1 September 2006 ini menegaskan bahawa:

a. Isu keganasan terhadap wanita merupakan satu gejala sosial, natijah daripada dasar kerajaan yang kurang kepedulian nasib wanita serta tidak mengambil sikap holistik dalam penyelesaian masalah masyarakat.

b. Punca permasalahan yang melibatkan wanita dan pemangsa mereka tidak diselidik dengan adil oleh pihak yang bertanggungjawab.

c. Tiada kajian terperinci dan statistik untuk mengetahui punca-punca sebenar kes-kes keganasan terhadap wanita di peringkat nasional supaya dengan itu dapat dicari jalan penyelesaian.

d. Kaedah-kaedah perundangan dan penyelesaian reaktif tidak memadai untuk mengurang, jauh sekali untuk membasmi, insiden-insiden keganasan terhadap wanita.

e. Pengendali kes yang kurang kompeten dan kurang sensitif terhadap mangsa serta kurangnya usaha membantu pelaku keganasan merupakan diantara punca kes keganasan terhadap wanita tidak dilaporkan dan bilangannya turut meningkat


Dengan ini, Kongres Nasional Wanita Parti Keadilan Rakyat yang bersidang pada 1 September 2006 MENUNTUT DENGAN TEGAS supaya kerajaan:

1. Melaksanakan dengan segera satu kajian di peringkat nasional yang bertujuan mencari penyelesaian holistik berkenaan isu keganasan terhadap wanita dan seterusnya mewujudkan pelan tindakan yang merangkumi usaha pencegahan, pemulihan dan dapat memastikan keselamatan wanita terjamin;

2. Menggubal satu rang undang-undang khusus berkaitan dengan keganasan terhadap wanita dimana melalui undang-undang tersebut keselamatan wanita akan terpelihara dan wanita dilindungi dengan cara:
a. menghalang berlakunya keganasan seksual
b. melindungi mangsa keganasan seksual
c. tekanan emosi dan psikologi juga ditafsirkan sebagai keganasan terhadap wanita
d. membolehkan kes-kes keganasan rumahtangga didakwa di mahkamah walaupun mangsa telah menarik balik laporan rasmi yang dibuat kepada pihak berkuasa;

3. Meningkatkan tahap profesionalisme di kalangan mereka yang memberi bantuan kepada mangsa-mangsa keganasan rumahtangga agar menjamin kemaslahatan dan kestabilan mangsa-mangsa keganasan terhadap wanita dari sudut emosi, psikologi, maruah, kesihatan, fizikal dan juga harta-benda mereka;

4. Memperuntukkan bantuan kewangan yang mencukupi kepada pusat-pusat perlindungan wanita;

5. Memberikan khidmat guaman secara percuma kepada mangsa-mangsa keganasan terhadap wanita.

Parti Keadilan Rakyat menegaskan dan meyakini bahawa ‘rasa selamat’ di kalangan golongan yang lemah dalam masyarakat, khususnya wanita adalah tanda aras kejayaan sesebuah pentadbiran kerajaan. Ia memerlukan suatu anjakan pemikiran di kalangan para penggubal dasar dengan mempelawa input yang luas daripada orang ramai, ahli masyarakat lelaki dan wanita, NGO dan juga daripada pihak parti pembangkang

Menentang sebarang bentuk kezaliman pula merangkumi penentangan tegas kepada keganasan terhadap wanita dan perjuangan membela nasib wanita pula mestilah didokong oleh semua kaum wanita. Ianya merentasi sempadan bahasa, perkauman dan juga politik kepartaian.

Wanita Parti Keadilan Rakyat juga akan terus mendesak, memerhatikan dan menilai pihak kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga berkenaan kesungguhan pihak kerajaan dalam usaha melindungi wanita daripada keganasan ini.

November 19, 2006 - Posted by | Politics

2 Comments »

  1. [...] The system generated by Barisan Nasional has failed to protect Malaysian women wholly. These figures and scenarios spelled a deliberate insensitivity of the system and lack of enforcement on proper measures that may cause the destruction of many women’s lives. Wanita keADILan views these as grave issues that warrant immediate resolve by the government. Two resolutions of the Congress of keADILan Women on September 1, 2006 demanded actions by the government. [...]

    Pingback by The Intentional Destruction of Women’s Lives « FuziahSalleh.com | November 19, 2006

  2. tolong kabari aku
    bila ada wanita yang bertanya tentang kehidupan seputar fiqh dan sosial nya

    achmad musa alkaff

    Comment by achmad musa alkaff | January 17, 2007


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: